Cinta Awek & Pakwe - 14


BAB 14
CAHAYA yang menyuluh terus ke kornea matanya terasa pedih mencucuk mata. Cahaya putih itu telah membuatkan matanya berair. Kepala terasa pening dan berat. Apa yang berlaku  malam tadi kabur-kabur menyapa ingatannya. Apa yang berlaku masih mengelirukannya.
Aku berada di mana ni? Hatinya tertanya hairan sambil bola matanya mula meliar mengitari ruang yang menjadi persekitarannya ketika ini. Pandangannya masih kabur. Dia merasakan dia tidak berada di kamar tidurnya. Suasananya sungguh berbeza. Terang benderang. Pipi sebelah kirinya terasa ketat dan pedih. Dengan perlahan dia mengerakkan tangannya cuba menyetuh bahagian pipinya yang terasa pedih dan ketat itu.
“Ju, jangan sentuh,” tiba-tiba satu tangan mencengkam lembut lengannya serta merta menghalang tangannya dari menyentuh bahagian pipinya yang terasa pedih itu.
Juliana memandang ke arah suara itu. Wajah mamanya mula menghiasai pandangannya. Dari kabur, kini beransur jelas dan terang.
“Ju kat mana ni mama?” tanya Juliana sambil memandang ke hujung katil. Kelihatan Malik, papanya sedang berdiri dengan wajah yang serius. Hatinya mula dijentik dengan perasaan yang tidak enak. Tubuhnya diselimuti dengan selimut dari benang bulu kambing berwarna putih. Baju yang tersarung pada tubuhnya pula berwarna biru.





Gratisan Musik
Salwa memandang wajah suaminya di hujung katil. Berkerut dahinya. Risau benar hatinya dengan satu-satunya anak gadis mereka itu. Dia kuatir Juliana tidak bisa menerima kenyataan yang sebenar. Dia takut, Juliana hilang semangat untuk hidup atas apa yang telah menimpa dirinya. Dia sudah masak dengan sikap anaknya itu yang terlalu pentingkan kecantikan diri dan berbangga dengan kecantikan yang telah dimiliki.
Dengan perasaan sayu Salwa kembali memandang wajah anaknya. Hatinya semakin terhiris setiap kali melihat wajah Juliana. Di dalam hatinya dia terus berdoa agar Juliana bisa menerima kenyataan ini dengan redha dan hati yang senang. Tetapi, sikap manja anaknya itu dikhuatiri akan menyebabkan anaknya hilang pertimbangan jika dia sudah tahu apa yang telah terjadi terhadap dirinya ketika ini.
“Ma… Ju kat mana ni mama?” ulang Juliana dengan suara yang lemah. Dia dapat melihat wajah mamanya kelihatan begitu risau sekali. Sesaat kemudian dia kembali memandang ke arah papanya di hujung katil. “Pa… Ju kat mana ni?” soalan beralih pada papanya pula.
Encik Malik tertunduk lemah dengan satu degusan halus. Hatinya tersayat setiap kali melihat keadaan anaknya itu. Sejak malam tadi dia dan isterinya terus berada di wad ini untuk menjaga dan menanti anaknya tersedar dari pengsan. Sengaja dia meminta doktor memberikan suntikan ubat tidur kepada Juliana agar anaknya itu bisa nyenyak tidur sempanjang malam tadi. Dia tidak  mahu Juliana meracau dan menggangu pesakit lain.
Juliana semakin bingung bila melihat mama dan papanya terus diam membisu seolah pertanyaannya itu terlalu sukar untuk dijawab. Hatinya yakin dia bukan berada di kamar tidurnya. Perlahan-lahan memori ingatannya mengimbas kembali apa yang telah berlaku malam tadi.
Pandangan Juliana menangkap kelibat Noah Zuhairi tidak jauh dari pintu masuk wad. Tiba-tiba sahaja kejadian malam tadi terimbas bertindan-tindan pada tabir pandangannya. Saat dia menari mesra bersama Noah Zuhairi. Saat dia sakit hati melihat musuhnya, Didi Dania tampil anggun malam tadi. Saat dia berlari menyelamatkan Noah Zuhairi dari dilanggar oleh sebuah kereta yang muncul secara tiba-tiba dari arah jalan masuk utama ke Hotel Caterina. Semua itu terimbas silih berganti di layar pandanganya sehinggalah ingatannya mengimbas saat tubuhnya bergesel dengan kereta yang mahu melanggar Noah Zuhairi itu lalu dia terus tidak sedarkan diri.
Juliana tersentak. Kejadian yang terakhir terimbas pada tabir memorinya telah mencuit hatinya untuk menebak apa yang telah berlaku. Namun, perasaan percayanya susah untuk menerima tebakan hatinya yang diyakini benar.
“Apa dah berlaku pada Ju, mama?” tanya Juliana mula cemas. Pantas tangannya cuba menyentuh pipi kirinya yang terasa ketat dan pedih. Luka pada kedua sikunya sedikitpun tidak diendahkan. Tetapi, sakit yang terasa di pipinya lebih diutamakan.
Lekas Salwa menahan tangan Juliana dari menyentuh wajahnya. Dia tidak mahu anaknya itu kesakitan. Namun, hatinya benar-benar hancur bila melihat wajah anaknya ketika ini. Tapi, apa yang mampu dia lakukan? Semuanya sudah berlaku. Tidak bisa diulang semula masa yang telah berlalu.
“Mama, kenapa dengan muka Ju? Kenapa mama tak bagi Ju pegang muka Ju?” tanya Juliana sudah mendudukan diri di atas katil itu. Baru dia sedar, kini dia berada di hospital.
Syahdu hati Noah Zuhairi melihat keadaan spupunya itu. Hatinya sudah mula dipagut rasa serba-salah yang amat mendalam. Semua ini berlaku disebabkan dia. Disebabkan dia wajah Juliana bakal berparut seumur hidup. Luka yang dialami oleh Juliana agak teruk di bahagian mukanya. Bahagian pipi sebelah kiri Juliana terpaksa di jahit lebih sepuluh jahitan akibat kulit wajahnya yang terkoyak teruk.
“Mama, kenapa dengan muka Ju mama? Kenapa?” Juliana sudah beremosi. Hatinya mula yakin sesuatu yang serius telah berlaku pada wajahnya. Kedua tangannya tidak dapat bergerak bila papanya mula menahan tangannya dari terus mencuba menyentuh pipinya. Dia sudah menangis dan meronta-ronta ingin dilepaskan. Kenyataan ini terlalu perit untuk diterima. Wajah yang dpuja dan disayangi kini sudah tercalar. Mampukan dia menerima semua ini?
Noah Zuhairi tidak sanggup untuk terus berlama-lama di situ. Dengan perlahan dia melangkah keluar dari wad itu bila keadaan Juliana semakin tidak tenteram. Semasa dia melangkah keluar, kelihatan seorang doktor bersama seorang jururawat berlari anak menuju ke arah wad Juliana yang semakin mengila.
Hatinya semakin gelisah. Serba salah terhadap Juliana. Hatinya terus memujuk hatinya sendiri. Kalaulah aku yang dilanggar malam tadi, alangkah bagusnya. Tidaklah aku rasa serba salah begini. Rintih hatinya lalu melangkah menuju ke ruang menunggu di hadapan wad persendirian itu. Dengan perlahan punggungnya dilabuhkan di atas salah satu kerusi yang ada.
Telefon bimbitnya dikeluarkan dari poket jeansnya. Selain rasa serba salah terhadap Juliana, dia juga turut rasa serba salah terhadap Didi Dania. Kerana hal ini dia terpaksa membiarkan Didi Dania pergi begitu sahaja tanpa dia dapat menahan. Sejak malam tadi dia mencuba menghubungi Didi Dania. Namun, sekalipun taliannya tidak berjawab.
Puas dia berfikir apa yang telah berlaku selama ini. Dia yang bodoh. Dia yang tidak mahu faham perasaan Didi Dania. Di saat inilah dia teringat kembali kebaikan Didi Dania selama ini. Gadis itu banyak membantunya dalam hidup. Jika sebelum ini dia seorang yang selekeh dan tidak terurus. Sejak mengenali Didi Dania, dia sudah pandai bergaya. Berpakaian dan memakai haruman.
Ingat lagi pemberian pertama Didi Dania kepadanya dua tahun lalu. Sebotol minyak wangi Dolce And Gabanna (D&G) Light Blue. Dari pemberian itulah dia mula berminat dengan wangian. Walaupun berjiwa rock, badan perlu berbau harum. Dari seorang yang selekeh dan berbau busuk semasa menunutut di peringkat diploma dahulu, kini dia sudah bergaya dan berbau harum. Semuanya disebabkan Didi Dania. Wanita sempoi dan selamba yang kena dengan jiwanya. Sering membimbing dia ke arah kebaikan. Itulah yang dia suka dengan Didi Dania.
Tanpa sedar, selama ini dia juga sayang pada Didi Dania. Tanpa Didi Dania hidupnya seolah ada yang lohong. Dia senang setiap kali bersama dengan Didi Dania. Didi Dania sering menjadi sumber semangatnya. Didi Dania sering bersamanya dikala suka, duka, susah dan senang sepanjang perkenalan mereka. Dia terlalu sayangkan Didi Dania.
Tapi… disebabkan hidup terus berlandaskan egonya. Kini dia sendiri yang merana kerana sanggup mempertahankan egoisnya dari meluahkan apa yang sepatutnya. Dia terasa dirinya bodoh kerana mahu Didi Dania yang mengaku perasaannya. Sepatutnya, dia sebagai seorang lelaki, perlu bersikap ‘jantan’ dan memulakan. Bukan membiarkan perigi mencari timba.
Kau bodoh Noah. Kau sangat bodoh. Sekarang kau tanggunglah sendiri. Didi Dania entah ke mana sekarang ni, hatinya menyalahkan dirinya sendiri. Nombor telefon Didi Dania di dail. Jika sebelum ini boleh dihubungi. Kini nombor yang di dail sudah tidak dapat dihubungi.
Feroz juga entah ke mana. Sejak malam tadi rakan serumahnya itu tidak dapat dihubungi. Semasa di rumah sewa tadi, dia tidak sempat untuk bertemu dengan Feroz dek rasa risaunya pada Juliana. Dia tahu dia bersalah. Dia lelaki yang tidak sensitif pada perasaan seorang perempuan. Ini kali pertama dia berperasaan begini. Dia keliru untuk menilai apa yang perlu dia lakukan. Akibat menangkan egoisnya, inilah akibat yang perlu dia bayar.
“Tak guna kau nak bersedih lagi. Semuanya dah berlaku,” suara itu muncul secara tiba-tiba. Dengan perlahan Noah Zuhairi mengangkat wajahnya memandang ke arah tuan punya suara itu. Buat seketika dia terdiam melihat insan yang sedang berdiri di hadapannya ketika ini. Dengan perasaan bengang dan malas untuk bertekak, dia terus meninggalkan wad itu. Dia perlu selesaikan masalah jiwanya ketika ini.
*****
LAJU langkah Didi Dania melangkah menuju ke arah wad yang telah dimaksudkan oleh jururawat yang menjaga kaunter pertanyaan tadi. Selepas mendapat panggilan dari Taufik awal pagi tadi, dia terus bergegas ke hospital ini tanpa pulang terlebih dahulu ke rumah emaknya. Apa yang menimpa emaknya benar-benar buat jiwanya terkejut, takut dan cemas.
Menurut Taufik, emaknya dimasukan ke hospital akibat penyakit lemah jantung. Emaknya sudah mengidap kencing manis dan darah tinggi sejak tujuh tahun yang lalu. Jadi, risiko untuk terkena lemah jantung adalah tinggi untuk golongan ini. Dan ini adalah kali pertama emaknya terkena serangan begini.
Di kejauhan kelihatan Taufik sedang duduk sendirian di ruang menunggu. Lekas dia melangkah menuju ke arah pekerja merangkap rakan sekampung dan sekelasnya semasa di sekolah menengah dahulu.
“Taufik, apa sebenarnya telah berlaku? Kenapa mak aku boleh jadi macam ni?” melulu Didi Dania bertanya dengan nada cemas selepas melabuhkan punggungnya di sebelah Taufik.
“Oh meletop!” Taufik terlatah bila dijerkah begitu. Lekas dia mengusap dadanya. “Kau ni Dania, kalau ya pun bagilah salam atau say hallo. Terkejut aku…” keluhnya sambil mencuba meredakan detak jantungnya yang tiba-tiba berdetak pantas.
“Ala… tak perlulah nak buat science terkejut ni boleh tak? Aku tanya ni, apa hal dengan mak aku? Macam mana dia boleh diserang lemah jantung?” pintas Didi Dania semakin risau. Boleh pula Si Taufik mahu buat aksi terkejut.
Eh, minah ni. Dia ingat aku buat-buat terkejut ke? Detik di hati Taufik. Hampir enam bulan dia tidak melihat wajah Didi Dania. Baru hari ini mereka bersua semula. Rindu yang membara seolah terbayar ketika ini. Dia tersenyum sendiri.
“Dania, awak semakin cantik hari demi hari,” puji Taufik secara tiba-tiba. Jururawat yang melintasi ruang itu tidak diendah. Apa yang dipentingkan ketika ini adalah hatinya. Dia ingin Didi Dania tahu tentang isi hatinya selama ini terhadap gadis ayu berperwatakan selamba itu.
Mendengarkan pujian itu, Didi Dania tersipu-sipu. Tertunduk dia menahan malu. Spontan hujung jari telunjuk kanannya digigit. Terkelip-kelip matanya memandang Taufik. Segan bila Taufik terus memandangnya dengan senyuman mekar.
“Dania, sudikah awak…”
“Eh, kau ni apa hal? Tiba-tiba aje tersengih sendiri ni?” pertanyaan garang dari Didi Dania itu menghancurkan fantasi Taufik. Zasst! Taufik tersedar. Rohnya yang sudah melayang jauh ke dasar fantasinya ditarik semula. Kini, dia kembali ke alam nyata.
La… berangan rupanya. Keluh Taufik di dalam hati sambil meraup mukanya dengan telapak tangan lalu memalingkan pandangan ke arah lain. Menahan malu kerana jauh berangan di hadapan Didi Dania di saat-saat genting dan cemas begini.
“Eeee… dia ni kan,” rengus Didi Dania bengang sambil menghayun beg sandangnya ke arah bahu Taufik. Mengaduh lelaki itu menahan sakit. “Aku tengah risau, dia boleh berangan pulak, kan? Aku tanya ni, kenapa dengan mak aku?” Buat kali ketiganya Didi Dania mengulang soalan itu. Dia sudah meluat dan bengang.
“Aduh… sakitlah,” keluh Taufik sambil mengusap bahunya. Serba salah pula untuk menjawab pertanyaan Didi Dania itu. Dia takut kawannya merangkap anak kepada majikannya itu tidak dapat terima kenyataan apa yang telah berlaku pada perniagaan emaknya.
Di dalam panggilan telefeonnya awal pagi tadi, dia hanya memaklumkan yang Rafeah dimasukan ke hospital kerana lemah jantung. Tidak pula dia memaklumkan punca Rafeah diserang penyakit itu dengan tiba-tiba.
“Cakaplah! Kenapa diam ni? Kau jangan nak berangan lagi ya?” maki Didi Dania bila melihat Taufik berat untuk menjawab pertanyaa itu. Keadaan itu membuatkan dia semakin cemas. Apa sebenarnya telah berlaku terhadap emaknya? Persoalan yang cukup mecemaskan jiwanya. Takut dengan jawapan yang bakal Taufik berikan. Dia berharap jawapan yang bakal dia terima tidak mengerikan.
“Sebenarnya…” berat pula Taufik ingin meluahkan.
“Sebenarnya… sebenarnya. Cakap ajelah. Janganlah buat suspens macam ni. Aku tak sukalah.”
“Okey… aku bagi tahu. Aku harap apa yang bakal aku bagitahu ni buat kau sabar dan kuat. Aku harap kau terima semua yang telah berlaku seredhanya. Kerana… semua ini adalah ujian dari Allah untuk menguji tahap keimanan hamba-Nya,” Taufik bermukadimah. Dia berharap Didi Dania kuat menerima apa yang berlaku dengan pasrah.
Sudah mahu tercabut jantung Didi Dania dibuatnya bila Taufik terus buat drama suspens seperti itu. Sudah terasa seolah dia berada di dalam drama televisyen berepisod. Boleh pulak Si Taufik ni buat babak suspens dan mencemaskan macam ni. Detik di hatinya sudah tidak karuan.
Pelase Fik, aku macam dah tak boleh nak hadam drama suspens kau ni. Boleh tak kau berterus terang dengan aku aje?”
Taufik mengeluh halus sambil memandang wajah Didi Dania di sebelahnya. Dia menarik nafas dalam lalu dihembus keluar pelahan-lahan. Meredakan rasa serba salahnya yang semakin menghimpit dada. Dia berharap agar Didi Dania boleh menerima semua ini seadanya.
“Betul kau nak tahu?” tanya Taufik serius dengan nada lemah.
“Yalah, kalau tak buat apa aku tanya. Ayo… Taufik, pleaselah… jangan berdolak-dalik lagi boleh tak?” Didi Dania sudah bosan mahu bertanya lagi.
“Baiklah. Kedai kerepek mak kau terbakar malam tadi,” jawab Taufik lemah. Dia turut bersedih atas apa yang berlaku malam tadi. Terbakarnya kedai kerepek Rafeah, terbakarlah juga kerjanya. Selepas ini dia terpaksa mencari pekerjaan lain.
Luluh hati Didi Dania mendengar jawapan Taufik itu. Lemah tubuhnya. Sendi-sendirnya terasa goyah dan lenguh. Dia terduduk lemah. Kendur tubuhnya. Semangatnya hilang hampir separuh. Terbang dibawa rasa terkejut. Dugaan yang melanda hidupnya ini cukup berat. Sumber rezeki emaknya kini musnah dalam sekelip mata. Sekarang, baru dia tahu punca emaknya diserang lemah jantung.
“Dania, sabar okey? Aku tahu dugaan ini berat untuk kau,” Taufik cuba menenangkan Didi Dania yang kelihatan sungguh goyah ketika ini. Terkejut dengan perkhabaran yang baru sahaja dia maklumkan sebentar tadi.
Didi Dania terdiam. Cuba mencerna dugaan ini perlahan-lahan. Dia mula memahami perasaan emaknya ketika ini. Kedai kerepek itu adalah semangat emaknya. Kedai kerepek itulah kegembiraan emaknya. Dari hasil kedai kerepek itulah dia dibesarkan selepas kepergian ayahnya. Emaknya sebatang kara. Tiada tempat untuk bergantung nasib. Kini, sumber rezekinya dilanda dugaan yang besar. Sungguh getir liku-liku kehidupan emaknya.
“Apa punca kebakaran tu Fik?” tanya Didi Dania sedikit pun tidak memandang wajah Taufik di sebelahnya. Dia masih terkejut. Air matanya yang tertakung pada kelopak matanya menitis perlahan-lahan.
“Emmm… polis masih siasat lagi. Kalau ada apa-apa berita, pihak polis akan maklumkan kepada kita,” jawab Taufik teratur. Keadaan mula berubah serius.
Diam. Didi Dania kelihatan mula tidak bersemangat.
“Mana wad mak aku. Aku nak melawat mak aku. Aku nak tengok keadaan mak aku,” tanya Didi Dania beria sambil memandang wajah Taufik penuh pengharapan.
“Inilah wad mak kau. Tapi doktor sedang merawat mak kau. Pelawat tidak dibenarkan masuk. Sebentar lagi doktor keluarlah.” Jelas Taufik sambil menghalakan ibu jari kanannya ke arah pintu wad di hadapannya.
Beberapa saat kemudian, pintu wad itu dibuka dari dalam. Kelihatan seorang doktor dan jururawat melangkah keluar dari wad itu. Lekas Didi Dania dan Taufik bangkit berdiri lalu melangkah menghampiri doktor itu.
“Doktor, bagaimana dengan keadaan emak saya?” tanya Didi Dania risau sekali ingin tahu keadaan terkini emaknya. Di dalam hati dia terus berdoa agar emaknya baik-baik sahaja. Dia tidak dapat membayangkan jika emaknya tiada. Dia takut perkara itu berlaku. Dia sudah tiada siapa-siapa lagi di dunia ini selain emaknya.
“Cik ni anak dia ke?” tanya doktor itu sekadar ingin memastikan.
Beria Didi Dania angguk.
“Buat masa ini keadaan Puan Rafeah stabil. Cuma, dia perlu berehat. Malam tadi, tekanan darah tingginya meningkat disebab itu jantungnya mengalami masalah. Selain itu, Puan Rafeah juga mengidap kencing manis. Jadi, risiko dia diserang lemah jantung adalah tinggi.” Jelas doktor itu jelas sekali.
Didi Dania dan Taufik saling berpandangan. Sedikit lega selepas mendengar jawapan dari doktor lelaki yang bernama Dr. Rizman seperti yang tertera pada tanda nama yang terpin pada baju putihnya.
“Emm… malam tadi semasa dia dihantar ke sini, saya dapati kadar denyutan jantungnya agak laju. Boleh saya tahu apa yang telah berlaku terhadap Puan Rafeah?” tanya Dr. Rizman sekadar ingin mencari punca mengapa pesakitnya itu diserang lemah jantung. Walaupun tidak serius, punca pesakitnya diserang penyakit itu dirasakan perlu untuk proses rawatan yang seterusnya.
Sekali lagi Didi Dania dan Taufik saling berpandangan. Tidak tahu sama ada perlu atau tidak mereka berterus terang pada Dr. Rizman yang sedang menanti jawapan mereka berdua ketika ini.
*****
DIA memecut laju skuternya menuju ke arah kawasan perubahan kos rendah itu. Kawasan di mana menjadi sewaan setiap pelajar-pelajar yang menuntut di universiti dan kolej yang berhampiran. Bila sudah tersandung, baru mahu mengadah. Dek terlalu ikutkan perasaan egoisnya, merana di jiwa semakin parah. Tanggunglah sendiri wahai Noah Zuhairi oiii…
Di kejauhan dapat dilihat Hameedah dan Feroz sedang berbual-bual di luar pintu pagar rumah yang disewa oleh Didi Dania bersama tiga lagi rakannya yang lain. Skuternya berhenti betul-betul di hadapan rumah itu. Kehadirannya dijamu dengan pandangan sinis dari dua sekawan itu.
Enjin skuternya dimatikan. Kemudian topi keledarnya dibuka lalu dia melangkah turun dari skuternya. Dia terus sahaja melangkah menghampiri Feroz dan Hameedah.
Keledek!
Skuter Noah Zuhairi tumbang. Terlupa pula dia ingin menongkat skuternya tadi dek terlalu resah dan gelisah. Dia perlu menegakkan kata hatinya. Dia perlu mendakap apa yang perlu didakap sebelum menyesal dikemudian hari.
Hameedah dan Feroz memandang pelik melihat gelagat kalut Noah Zuhairi itu.
“Meedah, Dania ada tak?” tanya Noah Zuhairi risau sekali. Wajahnya nampak serius dan mengah, sedangkan dia menunggang skuter ke sini. Bukannya berlari. Mengahnya seolah baru selesai berlari 100 meter.
“Noah, kau boleh biarkah skuter kau tergolek macam tu aje? Bukan ke kau sayang sangat skuter kau tu? Sampaikan tak sanggup ada kesan calar…”
“Diamlah kau Feroz!” pintas Noah Zuhairi malas mahu melayan pertanyaan Feroz. Apa yang membelenggu jiwanya ketika ini perlu dirungkai. Dia perlu bertemu dengan Didi Dania untuk meraih apa yang sepatutnya. Didi Dania perlu tahu akan isi hatinya. Dia juga terlalu sayang pada Didi Dania. Dia merasakan ada kekosongan di dalam jiwanya jika Didi Dania tiada.
Feroz terdiam sambil mengigit jari kerana ketakutan bila melihat wajah garang Noah Zuhairi itu. Aku pulak jadi mangsa marah dia. Detik di hatinya meluat. Tulah, sebelum ni bongkak. Ego! Aku dah berkias segala, dia boleh buat tak tau aje. Bila yang disayang sudah tiada. Baru sibuk nak menyesal tak sudah. Oh… drama, drama, drama! Hatinya menyambung bebel. Tidak dapat membebel malalui mulut. Melalui hatipun jadilah.
“Buat apa kau cari Dania lagi? Bukan kau dengan dia hanya berkawan?” sindir Hameedah sambil menyilang tangan di dada. Sinis pandangannnya menjilat tubuh Noah Zuhairi dari atas ke bawah berulang kali. Bengang dengan sikap ‘bacul’ Noah Zuhairi. Sanggup menegakkan egoisnya dari kehendak jiwanya. Dia dapat menebak yang Noah Zuhairi turut sayangkan Didi Dania. Tapi itulah… lelaki, ego selalu menjadi keutamaan dalam percintaan.
Noah Zuhairi mengeluh halus. Dari kata-kata Hameedah itu tahulah dia, Didi Dania sudah menceritakan segala-galanya kepada Hameedah. Sebab itu gadis itu tiba-tiba membencinya. Dia sedar dia bersalah. Tapi sebagai manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Dia juga ada hak mendapat peluang kedua.
“Salah ke aku nak jumpa dia sebagai kawan?” Noah Zuhairi cuba mengikut alir perbualan yang telah dimaksudkan oleh Hameedah. Lebih baik mengiakan apa yang gadis itu katakan dari menindas yang akan menghalang dia dari terus bertemu dengan Didi Dania.
Hameedah menjeling langit. Dia sangkakan Noah Zuhairi akan terasa dengan sindiriannya itu. Ternyata Noah Zuhairi seorang lelaki yang keras kepala. “Dia tak ada kat rumah,” jawabnya hendak tidak hendak sahaja sambil memandang ke arah lain. Meluat mahu memandang wajah Noah Zuhairi yang menyakitkan hati itu.
Pleaselah Meedah. Panggillah dia kejap. Aku nak jumpa dia…”
“Apa hal kau ni Noah? Meedah dah cakap Didi tak ada tu… tak adalah.” Sampuk Feroz turut bengang dengan sikap Noah Zuhairi. Disebabkan lelaki itu jugalah moodnya di majlis tari menari malam tadi berantakkan. Tiada seri langsung bila Didi Dania pulang awal.
“Sibukalah kau. Kau Meedah ke?” maki Noah Zuhairi sinis sambil memandang benci pada Feroz di sebelahnya. Ha… kan dah kena sebijik dengan aku. Detik hatinya.
Feroz terdiam sambil menutup mulutnya dengan telapak tangan. Taubat! Tak nak menyampuk lagi.
“Dania tak ada…” jawab Hameedah malas. Bosan mahu melayan lelaki buta hati pekej dengan buta jiwa itu. Berangan jadi perigi yang perlu dicari oleh timba. Banyak chantek? Cermin diri kau dulu! Hatinya memaki Noah Zuhairi.
“Kau jangan nak menipu aku Meedah. Kalau dia tak ada kat rumah, dia nak pergi mana? Library di saat semua students dah berambus balik cuti sem? Pergi main congkak? Pergi belatih menari zapin?” Noah Zuhairi mempertaikai jawapan Hameedah tadi. Hatinya yakin Didi Dania ada di dalam rumah. Cuma gadis itu tidak mahu bertemu dengannya kerana terasa hati dengan sikapnya malam tadi. Jika dia berada di tempat Didi Dania, sudah pasti dia juga akan merasakan perasaan yang sama.
“Meedah, aku minta diri dulu okey? Tak pasal-pasal aku kena tendangan sesat pulak nanti. Da…” pamit Feroz takut-takut lalu melangkah ke sekuternya. Dalam masa tidak sampai pun dua minit Feroz sudah meninggalkan kawasan perumahan itu.
Menjengil biji mata Hameedah memandang kelibat Feroz yang sudah menjauh. Kurang asam kau Feroz. Kau tinggal aku sorang-sorang? Eeee…. Gumam Hameedah sendirian di dalam hati. Dengan terkocoh-kocoh dia melangkah masuk ke bahagian dalam anjung rumah sewanya lalu lekas-lekas dia mahu menutup pintu pagar besi.
“Wah!!!” terjerit Hameedah bila Noah Zuhairi turut melangkah ke dalam. “Siapa suruh kau masuk sekali. Keluar! Keluar!” marah Hameedah sambil menolak tubuh Noah Zuhairi keluar dari kawasan anjung rumahnya. Seram dibuatnya. Jika ada jiran tetangga yang nampak, tidakah niaya? Aku masih suci!!!! Jeritnya di dalam hatinya pula.
“Aduh, aduh, sakitlah,” ngerang Noah Zuhairi sambil menepis pukulan Hameedah.
“Tahu pun sakit. Keluar!”
“Aku nak jumpa Dania.”
“Dania tak ada kat dalamlah.”
“Jadi dia ke mana?”
“Manalah aku tahu. Kalau dah tak ada kat dalam mestilah di kat luar.”
“Dia pergi mana?”
Boleh pula mereka berdua main tarik tali di situ. Hameedah sudah mengunci pintu pangar itu dengan mangga. Takut Noah Zuhairi buat kerja gila, masuk tanpa diundang. Niaya dia. Sudahlah dia sendirian di rumah. Didi Dania pula sejak pagi tadi keluar pulang ke kampung selepas mendapat panggilan memaklumkan emaknya dimasukan ke hospital. Punca dan sebabnya tidak siapa yang tahu.
“Manalah aku tahu. Pagi-pagi lagi dia dah keluar. Yang kau beria cari dia kenapa? Malam tadi kat majlis tu, tak pulak kau kejar dia. Dah pagi baru nak datang sini? Dah terlewat kau tahu? Dah terlewat. Read my lips,” Hameedah memuncungkan bibirnya. “Kau dah terlewat! Dia kecewa dengan kau!” sebutnya beria sekali.
“Tapi…”
“Tak ada tapi, tapi lagi! Sudah! Malas aku nak layan lelaki buta hati macam kau ni. Tanggunglah nasib kau sendiri okey? Bye!” potong Hameedah lalu melangkah ke dalam rumah tanpa mahu mengendahkan Noah Zuhairi lagi.
“Meedah…” Noah Zuhairi cuba menahan. Namun, sia-sia sahaja. Dari kata-kata Hameedah itu sahlah Didi Dania sudah menceritakan apa yang telah berlaku malam tadi pada wanita itu. Dia mengeluh sendiri. Menyesal kemudian sungguh tidak berguna. Dia kebingungan. Tidak tahu di mana Didi Dania berada sekarang. Dia perlu memberi penjelasan. Hanya keluhan kekesalan yang terhambur keluar ketika ini.
Tiba-tiba sebuah skuter yang entah dari mana munculnya berhenti betul-betul di hadapannya. Dengan rasa terkejut Noah Zuhairi memandang ke arah penunggang skuter itu.
“Aku boleh bagi tahu di mana Dania, berada. Tapi kau kena janji dengan aku, kau tak akan pertahankan ego kau tu lagi,” ujar penunggang skuter itu. Nasib baiklah enjin skuternya tidak mengaum kuat. Jika dia menungang motosikal RXZ, pasti suaranya tidak dapat di dengar dengan jelas.
Mendengarkan kata-kata penunggang skuter itu, senyuman kembali terukir di sebalik bibirnya. Bagai ada harapan besar menyapa hidupnya. “Syukuralhamdulillah…” ucapnya terharu sekali sambil menadah tangan dan mengadap ke langit. Berterima kasih kepada Allah kerana diberi peluang kedua.
*****
SELEPAS ditenangkan oleh kedua orang tuanya, emosi Juliana kembali stabil. Jahitan di wajahnya benar-benar membuat masa depannya gelap. Nasibnya sama seperti diperkosa. Kecantikan yang dibanggakan sebelum ini sudah tidak dapat di pertahankan lagi. Ternyata, ada benarnya juga kata-kata kecantikan luaran tidak kekal lama. Sampai waktunya pasti akan dimamah usia.
Tapi… itu dah tua. Sekarang ni aku baru berusia dua puluh lima tahun. Aku masih muda. Tapi wajah aku dah… hodoh… rintih di hati Juliana syahdu. Air matanya jangan cakaplah, sudah sedari tadi menitik. Parut kekal yang tertinggal di wajahnya terlalu mencacatkan wajah dan jiwanya. Selepas ini dia sudah tidak boleh berbangga lagi.
Tulah kau Juliana, riak dengan kecantikan yang diberi oleh Tuhan. Kau tak pernah nak bersyukur. Dalam sekelip mata Tuhan tarik balik kecantikan kau tu. Padan muka kau. Hatinya mengejak menambahkan lagi rasa sedihnya. Namun, apa yang boleh dia lakukan selain menerima? Waktu yang sudah berjalan mustahil boleh diundur. Mahu tidak  mahu dia perlu menelan semua ini dengan pasrah walaupun perit untuk ditelan.
Papa dan mamanya sudah keluar dari wad itu sejak lima belas minit yang lalu. Sengaja dia tidak mahu ada sesiapa berada di dalam wadnya. Dia ingin bersendirian. Walaupun kaedah kosmetik zaman ini semakin canggih. Bekas jahitan itu boleh ditutup dengan pembedahan plastik. Namun dia tetap merasakan wajahnya sudah tiada kecantikan semula jadi. Jika dia melakukan pembedahan plastik, sah-sah wajahnya sudah tidak original lagi. Kosmetik tambah palstik, palsu sangat. Tak suka!!! Raung hatinya.
Perlahan-lahan dia mengiringkan tubuhnya. Mengenang nasib diri yang sudah hodoh. Air mata yang mengalir lesu dibiarkan menitis membasahi pipinya. Hanya dengan cara ini sahaja dia boleh menenangkan jiwa. Hari-hari yang berlalu selepas ini terlalu sukar untuk dititi. Apakah sanggup dia berhadapan dengan orang ramai dengan wajah hodoh sebegini? Persoalan yang amat menyiat-nyiat hatinya.
Ala… apa salahnya aku buat pembedahan plastik? Bukannya orang tahu pun aku buat pembedahan plastik. Yang penting wajah aku kembali chantek seperti sebelum ini. Lantaklah kalau bukan kencantikan semula jadi pun. Ada aku kisah?
Tiba-tiba sahaja hatinya bersetuju dengan cadangan mamanya sebentar tadi untuk melakukan pembedahan plastik ke atas wajahnya selepas luka di pipi kirinya itu sembuh sepenuhnya. Ingatkan sudah diturunkan dugaan begini dia akan berubah. Ternyata tidak. Masih sama seperti sebelum ini.
Selang beberapa saat kemudian kedengaran bunyi pintu wadnya di buka. Terbuntang matanya. Terkejut.
“Siapa?” tanya kasar sekali. “Nurse ke? Atau… doktor? Kalau selain doktor atau nurse, sila keluar. Saya tak nak jumpa sesiapa buat masa ni,” sambungnya memberi amaran keras. Dia tidak mahu berjumpa sesiapa termasuk mama dan papanya. Dia tidak mahu diganggu buat masa ini. Dia mahu ketenangan.
“Sudahlah, jangan nak gedik dan mengada-ngada,” insan itu berbicara.
Mendengarkan suara itu, semakin membulat mata Juliana. Air matanya lekas diseka. Kenal sengat dia dengan suara itu. “Mama dan papa tak cakap ke Ju nak bersendirian?” tanyanya bengang bila masih ada yang degil.
“Mama dan papa kau tak ada kat laur. Dia dah ke cafĂ©, kebulur orang tua tu tak makan sebab sibuk risau dan jaga kau sepanjang malam. Itu pun kau tak sedar diri. Suka-suka hati aje halau mereka keluar,” sindir insan itu sinis lagi.
“Jangan nak sibuklah Abang Razy. Abang Razy bolehlah cakap macam tu sebab yang mengalami situasai yang getir ini, Ju. Yang muka berjahit pun Ju. Yang berwajah hodoh pun Ju. Cuba kalau muka abang hodoh, mesti Abang Razy akan buat perkara yang sama, kan?” maki Juliana bengang sekali kerana sepupunya itu tidak faham bahasa. Sengaja dia tidak mahu memalingkan wajahnya memandang Razy Radin. Dia tidak mahu wajahnya dipandang oleh lelaki itu. Malu!
Razy Radin tergelak lalu melangkah menghampiri Juliana. Dia berdiri di hadapan Juliana yang sedang baring mengiring. Parut di pipi kiri Juliana dipandang lama dengan sengihan sinis.
Melihat sengihan Razy Radin itu membuatkan rasa sakit hati Juliana semakin perit. Dengan rengusan benci dan jelingan maut dia memalingkan tubuhnya membelakangi Razy Radin. Dia tidak mahu wajah hodohnya dipandang oleh Razy Radin semahunya.
“Apa Abang Razy ni? Suka hati aje nak tengok luka Ju. Cucuk mata tu dengan garfu, padan muka. Biar buta macam Kasim Selamat!” rajuk Juliana. Berhati-hati dia mengiringkan tubuhnya agar luka di pipi kirinya tidak terkena bantal.
Razy Radin tergelak. Walaupun dalam keadaan beremosi, masih ada sifat gedik pada sepupunya itu. “Sudahlah, kau jangan nak berduka lara dan bersedih macam ni. Dengan luka kat wajah kau tu, kau boleh miliki apa yang kau nak selama ni.” pancing Razy Radin memulakan rancangan barunya.
Berkerut dahi Juliana mencerna kata-kata Razy Radin itu. Perlahan-lahan dia memandang wajah Razy Radin di belakangnya dengan wajah penuh tanda tanya. “Apa maksud abang?”
Razy Radin tergelak lagi lalu melangkah perlahan menghanpiri Juliana di atas katil. Parut panjang di pipi Juliana di pandang. Ada yang boleh dimanfaatkan dengan luka pada wajah Juliana itu.
“Apa yang Ju nak dan Ju boleh dapat?” tanya Juliana terpinga-pinga. Tidak berapa jelas dengan kata-kata Razy Radin sebentar tadi.
Senyuman pada bibir Razy Radin kaku serta merta. Lembab betul minah ni. Kutuknya di dalam hati. “Kau boleh tanya aku apa yang kau suka? Manalah aku tahu kau suka apa. Yang aku tahu, kau memang suka pada Noah, kan?”
Juliana semakin pening. “Yalah, kalau saya suka dengan Noah pun, apa kaitannya dengan luka kat muka Ju ni?” Juliana masih tidak dapat menebak.
“Kau ni memang lembablah!” Razy Radin sudah bosan. Apalah malangnya aku dapat sepupu lembab macam ni? Keluh hatinya.
Juliana tarik muncung lalu memalingkan wajahnya ke arah lain. Benci! Suka hati aje kata aku lembab. Dahlah aku tengah bersedih. Boleh pulak dia kutuk aku secara berdepan. Kalaulah aku kuat, dah lama aku tumbuk mulut dia sampai lunyai. Gumamnya sekadar di kerongkong.
“Aku nak tanya kau, luka kat muka kau tu terjadi disebabkan apa?” Razy Radin mula menguji tahap otak Juliana berfikir.
Juliana kembali berpaling memandang ke arah Razy Radin dengan wajah bingung. “Masa nak selamatkan Noah dari kena langgar dengan kereta…” kata-katnya tersekat di situ. Dia sudah dapat menangkap apa yang cuba Razy Radin maksudkan.
Razy Radin tersengih bila melihat sepupunya itu sudah mula menebak rancangannya. “Dengan parut kat muka kau tu, kau boleh jadikan alasan untuk mengikat dia supaya nikahi kau,” ujarnya melengkapkan teka tekinya tadi.
Senyuman di bibir Juliana semakin melengkung. Tiba-tiba niatnya untuk membuat pembedahan plastik pada wajahnya dibatalkan buat sementara. Dia akan menfaatkan luka itu sebaiknya sebelum menghilangkan parut itu.
“Ikat dia? Kau orang nak ikat siapa?” pertanyaan dari arah pintu masuk wad itu membuatkan Razy Radin dan Juliana terkejut. Serentak mereka berdua memandang ke arah pintu wad. Buat seketika mereka berdua terpaku selepas melihat insan yang sedang berdiri di muka pintu ketika ini.
“Noah…” terbisik nama itu di hujung bibir Juliana yang mula kelihatan cemas dan takut.