Cinta Awek & Pakwe - 15


BAB 15

DIA menjenguk sebentar ke dalam bilik pejabat ayahnya. Kosong tiada sesiapa di dalam pejabat itu. Dia mengatur langkah menuju ke arah meja setiausaha ayahnya pula. Dia hairan bila melihat pejabat ayahnya kosong. Kebiasaannya, di waktu-waktu begini ayahnya sudah berada di pejabatnya.
“Melinda, Dato' Mikael belum masuk ofis lagi?” tanya Razy Radin serius sekali.
Melinda yang sedang menaip sesuatu pada papan kekunci komputernya memandang wajah Razy Radin.
“Tadi Dato’ ada call saya. Dia maklumkan dia ke hospital melawat anak saudaranya. Mungkin dia masuk ofis lewat sedikit hari ini,” penuh berhemah Melinda menjawab pertanyaan anak kepada CEO Mikael Holding itu.
Razy Radin angguk mengiakan lalu mengatur langkah menuju ke pejabatnya. Sampai di hadapan meja pembantunya dia memberhentikan lagi langkahnya.
“Lulu, nanti kalau ada tetamu datang cari saya, suruh dia masuk okey?” pesan Razy Radin lalu melangkah masuk ke dalam pejabatnya selepas Lulu angguk akur. Pintu pejabatnya ditutup rapat lalu dia melangkah menuju ke mejanya. Fail-fail yang bertompok di atas meja membuatkan dia berasa sedikit tertekan. Semakin menimbun kerjanya ketika ini.
Selepas punggung selesa duduk di atas kerusi, fail tipis berwana kuning di dalam laci mejanya dikeluarkan. Di dalam fail itu tersimpan data-data rahsia milik seseorang. Apa yang berlaku kelmarin berlaku seperti yang dirancang. Hari ini, dia ingin tahu perkembangan terbaru rancangannya itu dari orang suruhannya.
Dia benar-benar lega rancangannya tidak berantakkan. Mujurlah Noah Zuhairi tidak mendengar perbualannya dengan Juliana di hospital, semalam. Jika tidak, pasti rancangannya akan hancur lebur. Jadi, rancangan seterusnya boleh dijalannya tanpa ada masalah. Apa yang berlaku terhadap Juliana memudahkan lagi rancangannya.
Fail kuning itu dibuka lalu dilihat isinya. Senyuman terukir di sebalik bibirnya tanpa sedar. Sekeping gambar seorang gadis yang terselit pada kulit fail tipis itu telah mencuit satu rasa yang belum pernah menyapa jiwanya sebelum ini. Wajah yang mula menghiasi tabir ingatannya. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia boleh berperasaan begitu.
Razy, adakah kau sudah lupa akan niat kau yang sebanar? Takkan kau dah jatuh cinta pada perempuan tu kut? Bukan ke kau hanya mendekati dia untuk menyakiti hati adik kau? Egoisnya berkata-kata. Cuba mengingatkan dan menyedarkan tentang niatnya yang sebenar.
Sesungguhnya hati kau sudah terpaut pada dia, Razy. Setiap kali kau menatap wajah dan gambarnya, pasti akan membuat hati ini bergetar. Kau tidak merasakan ada satu perasaan aneh mula mengisi ruang jiwa kau? Kau merindu pada dia jika berjauhan. Kau tidak rasa semua itu? Hati pula berkata-kata.
Keluhana berat dihembus keluar. Dia keliru dengan perasaannya sendiri. “Razy, kau jangan nak berangan. Sakit hati kau perlu diutamakan dari perempuan ini. Tapi…” bibirnya tidak bisa menghabiskan kata-katanya. Kebarangkalian yang bermain di jiwanya ketika ini sungguh memberi kecelaruan diminda dan jiwanya. Dengan pantas dia menutup fail di tangannya. Tidak mahu terus tenggelam ke dasar perasaannya sendiri. Fail itu dimasukan semula ke dalam laci.
Tut…!
Tiba-tiba alat interkom di atas mejanya berbunyi. Lekas butang yang menyala hijau itu di tekan. Ada panggilan masuk dari pembantunya di luar pejabat.
“Ya Lulu, ada apa?”
“Ada tetamu ingin berjumpa dengan Encik Razy.” Jawab pembantunya lembut di hujung talian.
“Okey, suruh dia masuk,” balas Razy lalu menamatkan panggilan. Fail-fail yang bertompok di atas mejanya ditolak ke tepi. Orang suruhanya sudah tiba. Laporan terbaru mengenai rancangannya diperlukan ketika ini.
Beberapa saat kemudian, pintu pejabatnya diketuk dari laur. Perkataan masuk dilaung. Tejengul wajah Shah di muka pintu. Selepas senyuman mereka berbalas, dia melangkah masuk lalu mereka bersalaman.
So, apa perkembangan terbaru?” tanya Razy Radin selepas orang suruhannya itu selesa duduk dia atas kerusi yang berhadapan dengannya. Dia sudah duduk bersandar relaks memandang Shah.
“Rancangan kita berjalan dengan baik. Cuma…” tersekat di situ. Apa yang berlaku benar-benar di luar dugaannya. Dia tidak menyangka rancangan mereka terlalu serius jadinya. Dalam rancangan, mereka ingin membakar kedai kerepek Rafeah Foods sedikit sahaja. Tidak sangka api merebak sehingga menjilat keseluruhan kedai itu.
Berkerut dahi Razy Radin memandang wajah orang suruhannya itu. Tubuhnya sudah menegak lalu disandar pada meja. Hatinya dirundum rasa cemas dan tidak enak.
“Apa maksud kau?” tanya Razy Radin serius sekali dengan debaran di hati.
“Emmm…” berat pula Shah ingin meluahkan. Namun, dia tidak boleh berahsia. Jika hal ini dapat dihidu oleh pihak polis, dia juga yang parah nanti. “Kedai kerepek tu terbakar habis. Tak ada yang tinggal,” sambungnya lagi dengan nada takut-takut. Khuatir bosnya itu naik angin kerana apa yang berlaku tidak seperi yang dirancang.
Tersentap jiwa Razy Radin selepas mendengar perkahabran itu. Dia juga tidak menyangka rancangannya berlaku seteruk itu. Hatinya mula dirundum rasa serba salah. Terasa berdosa pula kerana telah menghancurkan kehidupan dua insan yang tidak bersalah.
“Dan…” Shah cuba menyambung ceritanya. Tetapi serba salah pula.
“Dan apa?” tanya Razy Radin semakin cemas. Dia khuatir ada yang mati dalam kebakaran itu. Ketat wajahnya memandang Shah yang kelihatan seperti cacing kepanasan itu.
“Emak gadis itu di masukan ke hospital akibat serangan lemah jantung. Gadis tu sekarang ada di sana menajaga emaknya. Dan…” jelas Shah tersekat-sekat.
Razy Radin mengeluh. “Dari tadi, dan… dan… boleh tak kau cakap jangan tergagap-gagap macam ni? Tension aku nak menunggu kau habis cakap. Penat kau tahu tak nak menanggung perasaan cemas ni?” luah Razy Radin sudah bosan dengan dialog suspens seperti itu. Letih!
“Okey… okey. Maafkan aku bos. Aku dapat informasi dari budak yang jadi paparazzi mengendap gerak geri adik bos tu, hari ini kemungkinan adik bos tu akan ke kampung gadis tu,” terketar-ketar Shah menjelaskan bila sudah ditengking oleh bosnya itu.
“Adik aku nak ke kampung dia buat apa?” Razy Radin terkejut.
Shah menjengketkan kedua bahunya tanda tidak tahu.
Keluhan kasar dihembus keluar. Dia tidak boleh biarkan Noah Zuhairi berjumpa dengan Didi Dania di kampungnya. Dia perlu menghalang. Pertemuan ini pasti akan merosakkan rancangannya. Wajah Shah di hadapannya di pandang geram. Telefon bimbit di atas meja dicapai lalu nombor seseorang didail.
“Hallo Ju,” sapa Razy Radin terlebih dahulu selepas talian di sambungkan.
Diam.
“Aku nak kau buat sesuatu sekarang…” pintanya sambil mengukir sengih puas. Rancangan baru tiba-tiba melintasi mindanya.
*****
PAGI ini dia nekad untuk pergi ke kampung halaman Didi Dania. Dia ingin bertemu dengan awek kesayangannya itu. Dua hari tidak mendengar suara dan melihat wajah aweknya itu membuatkan jiwanya terasa ada yang tidak kena. Ada kelohongan yang terlalu besar. Terasa rindu yang mencengkam amat menyesakan dada. Sekarang baru dia tahu erti rindu yang bersalut sayang.
Ikutkan hati, sejak semalam dia ingin ke kampung halaman Didi Dania selepas di maklumkan oleh Feroz lokasi sebenar kampung Didi Dania. Namun, dia mematikan niatnya bila rasa bersalahnya terhadap Juliana tiba-tiba datang bertandang mengegar jiwanya. Disebabkan dia, Juliana mengalami kecederaan yang agak parah di wajahnya.
Sepanjang petang semalam dia berada di hospital menemani Juliana. Ikutkan hati dia memang tidak mahu ke sana. Namun, disebabkan rasa serba salah, dia turutkan sahaja. Apa pula kata keluarga Juliana jika dia tiada di hospital sedangkan anak mereka tercedera disebabkannya. Oleh sebab itu dia berada di hospital. Hanya untuk menyedapkan hati pakcik dan makcinya serta menjaga air muka ayahnya agar tidak dipandang serong.
Sepanjang malam tadi dia sudah berfikir ayat yang bagaimana ingin diluahkan bila bertemu dengan Didi Dania sebentar lagi. Dia sudah menilai tentang hatinya sehabis-habisnya dan semasak-masaknya. Ya, jujur dia akui dia memang menyayangi Didi Dania. Bukan sekadar sayang, tetapi sudah ke dasar cinta yang suci. Sehingga terbayang-banyang dan termimpi-mimpi dikala rindunya datang bertandang.
Beg galasnya disandang pada bahu. Kamal Adli sudah sejak kelmarin pulang ke kampungnya. Di rumah itu hanya tinggal dia dan Feroz sahaja yang tinggal. Feroz ada perjumpaan dengan ahli Persatuan Kesenian Dan Kebudayaan kolej. Sebab itu dia pulang sedikit lewat. Dia pula belum tahu bila akan keluar dari rumah sewaannya ini. Hatinya masih bercelaru tidak tahu untuk membuat keputusan dan apa yang perlu dilakukan ketika ini.
Wajahnya dipandang sekilas di cermin. Botol minyak wangi dari 1 Million dari Paco Rabanne dicapai lalu disebur sedikit pada leher dan pakaiannya. Semasa dia ingin meletakan semula botol wangian itu di atas meja kecil yang berhadapan dengan cemin panjang, dia terpandang kotak wangian D&G Light Blue pemberian Didi Dania dua tahun lalu. Wangian pertama yang menjadi haruman tubuhnya sebelum ini. Senyuman terukir di sebalik bibirnya. Kenangan di saat perkenalan dia dan Didi Dania dan saat-saat manis mereka mengharungi suka duka semasa menuntut di kampus kembali berputar di ruang mindanya.
“Minyak wangi? Kau bagi aku minyak wangi kenapa? Tak retilah aku nak pakai minyak wangi ni. Aku peninglah dengan bau wangi,” Noah Zuhairi menolak pemberian Didi Dania dengan baik.
“Ala… pakai aje dulu. Aku yakin kau akan suka dengan baunya,” Didi Dania tetap berdegil mahu Noah Zuhairi memakai wangian pemberiannya itu. “Kau cubalah bau dulu,” pujuknya lagi sambil menolak kotak baldu berwarna biru muda itu menghampiri Noah Zuhairi yang sedang memandang pelik ke arahnya.
Tanpa banyak cakap, Noah Zuhairi membuka kotok itu lalu isinya dikeluarkan. Dengan rasa kurang selesa kerana didesak oleh Didi Dania, dia menyembur sedikit wangian itu pada lengannya. Kemudian, dihidu wangian itu.
“Wanginya…” bisik hatinya terpersona dengan wangian dari D&G itu.
Senyumannya terukir semakin melengkung bila kenangan itu mencuit ingatannya. Terlalu indah masa itu. Alangkah bagusnya jika waktu itu bisa diulang semula. Rintih hatinya sayu sekali.
Ehem….” Tiba-tiba kedengaran suara orang berdehem. Lekas dia menoleh ke arah pintu biliknya yang terbuka luas. Kelihatan Feroz sedang bediri bersandar pada bingkai pintu sambil menyilang tangan di dada.
Noah Zuhairi tersengih malu bila perlakuannya diperhati oleh Feroz entah sejak bila agaknya. Botol wangian di tangannya diletak semua di atas meja kecil di hadapannya. Wajahnya dipandang lagi melalui cermin. Sekadar ingin mengemaskan keadaan pakaian di tubuhnya.
“Sempat lagi kau berangan, kan? Dah pukul berapa ni? Kau tak gerak lagi ke kampung Dania?” tanya Feroz tiga soalan sekali gus.
“Aku nak pergilah ni.”
Feroz menjeling siling. Menyampah.
“Kenapa kau tak pergi semalam aje?” tanya Feroz lagi. Dia hairan, mengapa Noah Zuhairi tidak ke kampung halaman Didi Dania selepas dia memaklumkan alamat kampung halaman gadis itu, semalam. Baru pagi ini rakan serumahnya ingin menemui Didi Dania.
Kata sayang Didi, tapi boleh pula berlengah-lengah. Detik hatinya bingung dengan sikap pelik Noah Zuhairi. Langsung tidak serius mahu memujuk hati Didi Dania yang sedang berduka lara ketika ini.
“Semalam aku ke hospital. Kau tahu kan, Juliana masuk hospital?” jawab Noah Zuhairi biasa sambil mecapai jaket denimnya di belakang pintu.
Feroz mencebik bibirnya. Kecoh malam kelamrin di luar Hotel Caterina, Juliana kemalangan. Masakan dia tidak tahu? Mustahil. Namun sedikit pun dia tidak kisah. Padan muka kau. Selama ni mulut kau jahatkan? Sekarang Tuhan balas cash kat dunia. Detik hati Feroz tidak sedar dia sudah berdendam pada Juliana.
“Apa-apa pun, aku nak ucapkan ribuan terima kasih pada kau sebab kau sudi bagi tahu aku alamat kampung Dania. Kalau tak ada kau, tak tahulah macam mana,” ucap Noah Zuhairi sambil menyarungh jaket denim pada tubuhnya.
“Aku buat ni pun sebab nak jaga hati Dania. Aku sanggup khianati dia sebab nak kau orang berdua bersatu. Aku harap kau hargai pengorbanan aku ni sebaik mungkin. Kalau Dania tahu aku bagi alamat kampung dia kat kau, boleh putus kawan, tahu? Hargailah Dania, Noah. Dia sayangkan kau. Kau tu janganlah pertahankan ego kau tu. Kasihan Dania tu bagai menanti bulan jatuh ke riba,” Feroz sudah membebel.
“Baiklah Feroz oiii…” akur Noah Zuhairi sambil mencubit kedua pipi tembam Feroz. Dia bersyukur kerana memiliki kawan sebaik Feroz yang sanggup berkorban untuk melihat dia dan Didi Dania bersatu walaupun perkara itu masih belum jelas lagi. Apakah kemaafan Didi Dania ada untuknya selepas apa yang berlaku malam kelmarin? Persoalan yang masih diusahakan dengan gigih untuk dicarikan jawapannya.
“Okeylah, aku gerak dulu…” pinta Noah Zuhairi lalu melangkah keluar dari biliknya.
“Ingat, kau tu lelaki Noah. Kena bersifat gentleman. Bukannya nak berlagak dengan ego kau. Akhirnya, diri kau sendiri yang mernana. Macam mana? Siapa nak jawab? Kaulah yang menjawabnya sendiri,” Feroz masih mahu membebel sambil mengekori langkah Noah Zuhairi menuju ke muka pintu utama rumah sewa meraka itu.
Selesai memakai kasut, helmet di atas rak kasut dicapai lalu disarung di kepala. Kunci skuter yang tersakut di bawah suiz lampu dicapai lalu dia melangkah menuju ke arah skuternya. Dengan perlahan dia menungang motor itu. Belum sempat dia menghidupkan enjin skuternya, tiba-tiba telefon bimbit di dalam poket seluarnya memekik. Lekas dia mengeluarkan telefon bimbitnya lalu butang hijau ditekan selepas melihat nama yang tertera pada skrin telefon bimbitnya.
“Hallo,” sapanya terlebih dahulu.
Diam. Feroz yang sedang berdiri di muka pintu berkerut dahi melihat Noah Zuhairi yang sedang berbual dengan si pemanggilnya. Dia mula risau bila melihat wajah Noah Zuhairi tiba-tiba serius.
“Apa? Ke hospital? Kenapa?” tanya Noah Zuhairi cemas. Tidak fasal-fasal Feroz turut cemas.
“Baiklah, Noah datang sekarang,” akur Noah Zuhairi lalu menamatkan panggilan. Tergesa-gesa dia menghidupkan enjin skuternya.
“Kau nak ke mana Noah? Ada masalah ke?” tanya Feroz cemas. Risau jika perngorbanannya tidak dihargai dan niatnya ingin menyatukan Didi Dania dan Noah Zuhairi tidak menjadi.
“Aku perlu ke hospital. Juliana ada masalah. Nanti aku cerita ok? Assalamualikum,” jawab Noah Zuhairi terkocoh-kocoh.
“Tapi kau janji nak jumpa Dania…” belum pun sempat Feroz menghabiskan kata-katanya Noah Zuhairi sudah pun berlalu meninggalkan perkarangan anjung rumah sewa mereka menuju ke arah timur. Hatinya sakit tiba-tiba.
“Menyesal aku berniat nak tolong kau Noah. Beria aku ingat kau akan lebihkan Dania. Tapi… si minah senget tu jugak yang kau nak. Huh!” bentak Feroz bengang lalu melangkah ke dalam rumah. Dengan perasaan marah, pintu dihempas kasar. Kasihan pintu itu. Apalah salahnya kerana sering menjadi hempasann manusia yang marah. Sedih!
*****
MELURU Dato' Mikael melangkah menghampiri adiknya yang baru sahaja melangkah keluar dari wad Juliana. Sekali lagi Juliana buat hal. Beremosi sehingga meracau yang bukan-bukan. Melihatkan wajah adiknya itu yang gelisah membuatkan hatinya turut tidak enak dan tidak senang.
“Kenapa Malik?” tanya Dato' Mikael sambil memaut bahu adiknya, Malik.
Encik Malik mengeluh halus lalu melangkah menuju ke arah ruang menunggu. Pertanyaan abangnya itu tidak dijawab. Dengan lemah dia melabuhkan punggungnua di atas salah satau kerusi yang ada di ruang itu. Hatinya semakin risau. Semalam, anaknya sudah stabil emosinya. Selepas mendapat satu panggilan telefon sebentar tadi, tiba-tiba sahaja Juliana kembali beremosi. Menjerit seperti terkena histeria. Isterinya pula masih di dalam wad cuba menenangkan Juliana.
“Kenapa dengan Ju?” tanya Dato' Mikael dengan konteks soalan yang berbeza. Tetapi, masih tidak lari maksudnya dengan pertanyaan pertamanya tadi. Dengan turut melabuhkan punggungnya di sebelah Malik. Bahu adiknya itu dipaut erat. Cuba menenangkan kegelisahan adiknya itu dengan sentuhan.
“Ju kembali beremosi bang,” jawab Malik lemah sekali. Kecewa dengan apa yang telah berlaku.
“Bukan ke semalam dia dah stabil? Kenapa tiba-tiba sahaja dia beremosi lagi ni?” tanya Dato' Mikael hairan. Semalam Noah Zuhairi sendiri memaklumkan kepadanya keadaan emosi Juliana sudah kembali stabil. Tapi kini, tiba-tiba sahaja anak saudaranya itu kembali beremosi atas apa yang berlaku kelmarin.
“Saya pun tak tahu puncanya bang. Tapi…” terhenti di situ. Terasa berat pula dia ingin menghabiskan kata-katanya. Namun, dia merasakan dia perlu meluahkan. Hanya abangnya sahaja yang bisa mengembalikan keceriaan anaknya. Dia tidak mahu Juliana menghancurkan masa depannya hanya kerana parut yang berbekas pada wajahnya.
Tercuit hati Dato' Mikael bila adiknya seolah berat untuk menghabiskan kata-katanya. Hatinya mula dapat menebak sesuatu yang melibatkan dirinya. Tetapi dia tidak berapa yakin dengan tebakkannya itu. Dari wajah adiknya itu dia merasakan ada sesuatu yang dinginkan darinya.
“Tapi apa Malik?” tanya Dato' Mikael bila melihat adiknya itu terus berdiam. “Ada apa-apa yang boleh aku tolong aku akan cuba tolong.” Sambungnya bila melihat tiada tanda-tanda Malik ingin menjawab pertanyaannya.
“Abang tahu bukan, punca wajah Juliana jadi begitu?” jawab Malik dengan pertanyaan. Sudah tidak sanggup dia ingin terus memendam. Dia tidak mahu anaknya terus begitu. Hanya abangnya yang bisa menyelesaikan masalahnya ketika ini. Dia yakin, abangnya bisa membantunya.
Berkerut dahi Dato' Mikael memandang wajah adiknya. Kurang pasti apa yang cuba adiknya itu maksudkan. Lama dia memandang wajah Malik. Mindanya mula menebak hal yang bukan-bukan. Ya, dia tahu punca Juliana terlibat kemalangan sehingga wajahnya tercedera agak parah. Kemalangan itu berlaku disebabkan ingin menyelamatkan salah seorang anaknya iaitu, Noah Zuhairi.
“Ya… apa yang boleh aku tolong kau?” tanya Dato' Mikael cuba menyelesaikan keserabutan jiwanya yang berlaku secara tiba-tiba.
Encik Malik menghela nafas panjang. Berat pula ingin meluahkan. Tetapi dia perlu meluahkan demi kebaikan anaknya.
“Juliana terlalu cintakan anak abang, hanya anak abang yang boleh membawa sinar ceria kepada Juliana,” jelas Malik apa yang terpendam.
Sejak tadi Juliana menjerit-jerit memanaggil Noah Zuhairi. Dan sebelum ini juga berkali Juliana meluahkan kepadanya yang anaknya itu sayangkan Noah Zuhairi. Sangkanya Noah Zuhairi membalas perasaan anaknya itu. Tetapi selepas kejadian ini, jelaslah anaknya hanya bertepuk sebelah tangan.
“Sejak bila Juliana dan Razy bercinta?” tanya Dato' Mikael hairan. Jarang dia mendengar nama Razy Radin keluar dari mulut Juliana. Inikan pula bertemu mesra. Nama yang selalu di sebut-sebut dan dicari-cari oleh anak saudaranya itu adalah Noah Zuhairi.
Encik Malik mengeluh bosan. Kura-kura dalam perahu Mak Enon, pura-pura tak tahu konon. Detik di hati Malik. “Abang ni buat-buat tak tahu atau memang tak tahu?” tanyanya dengan wajah bosan.
“Maksud kau, Noah?” Dato' Mikael ingin memastikan.
“Abang ada anak lain ke selain Noah Zuhairi dan Razy Radin tu?” Malik mempertikai. Sengaja ingin menyindir abangnya itu. Dalam keadaan begini pun mereka masih boleh buat babak pura-pura tidak tahu. Drama sungguh!
Dato' Mikael tersengih. “Juliana suka Noah Zuhairi?”
“Yalah. Kalau tak, takkan dia sanggup korbankan muka dia tu nak selamatkan anak bungsu abang tu.” Pintas Malik cuba meyakinkan abangnya itu yang kelihatan bingung. Harap sahaja berkejaya, otak lembab. Sempat lagi dia mengutuk abangnya sendiri di dalam hati.
“Ya tak ya jugak. Jadi… kau nak Noah, kahwin dengan Juliana?”
Beria Malik angguk. Hanya itu jalan penyelesaian yang dia nampak ketika ini untuk mengembalikan keceriaan anaknya.
“Kalau dia tak nak macam mana?”
Encik Malik mengeluh halus dan bosan. “Abangkan ayah dia. Abang pujuklah dia.”
Kali ini Dato' Mikael pula mengeluh halus sambil menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Dia khuatir tidak dapat memujuk Noah Zuhairi. “Kau macam tidak kenal sifat anak bungsu aku tu. Dia degil. Dia tak macam abangnya yang selalu dengar kata aku.”
Keluhan halus dihembus oleh Malik. “Abang ni harap aje pegang jawatan CEO kat Mikael Holding. Tapi dengan anak sendiri abang tak boleh nak tegas.”
Tertampar hati Dato' Mikael dengan kata-kata adiknya itu. Pantas dia memandang wajah Malik dengan renungan tajam. Namun, tidak pula dia memaki. Dipendam sahaja perasaan marahnya itu. “Noah tu lain. Dia suka memberontak.”
“Abang perlu ingat bang. Luka yang berbekas pada pipi anak saya tu luka kekal. Kemungkinan anak saya jadi anak dara tua atau tak laku adalah tinggi sebab muka dia dah tak secantik dulu. Saya tak kira, anak saya jadi macam tu sebab anak abang. Saya nak Noah berkahwin dengan anak saya,” Malik sudah kekeringan idea. Hanya idea mengugut begini yang dia ada ketika ini. Semuanya dilakukan demi kebahagiaan anaknya. Apa yang berlaku terhadap anaknya bukan sesauatu yang ringan.
Dato' Mikael terdiam. Kata-kata adiknya itu terkena pada batang hidungnya. Ya, dia sedar akan hakikat itu. Anak saudaranya itu tercedera kerana ingin menyelamatkan anaknya. Dan jika dia berada di tempat adiknya pun, dia akan melakukan perkara yang sama. Menyuruh insan yang menyebabkan Juliana tercedera bertanggungjawab ke atas gadis itu.
“Baiklah, kalau itu yang kau mahu aku akan kahwinkan Noah dengan Juliana,” begitu cepat Dato' Mikael membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Tanpa memikirkan tentang hati dan perasaan anaknya. Di dalam mindanya, Noah Zuhairi patut bertanggungjawab ke atas Juliana.
Mendengarkan kata-kata abangnya itu membuatkan hati Malik berbunga. Ternyata abangnya itu berperikemanusiaan. “Terima kasih bang,” ucapnya sambil menepuk bahu abangnya beberapa kali.
“Noah berkahwin dengan Juliana?” pertanyaan itu menyentak rasa gembira mereka berdua. Serentak mereka berdua memandang ke arah suara itu. Masing-masing terpempan.
*****
LESU tubuh Rafeah masih bersisa. Serangan lemah jantung ke atasnya benar-banar membuatkan dirinya lemah selain semangatnya yang sudah hilang entah ke mana. Dugaan yang menimpa hidupnya ketika ini sungguh berat untuk di galas. Satu-satunya harta kesayangannya kini hangus dijilat api. Tiada apa yang tertinggal selain debu dan arang sahaja.
“Mak… janganlah macam ni,” pujuk Didi Dania lalu melabuhkan punggungnya di sebelah emaknya. Beg pakaian emaknya diletakkan di tepi sofa. Selepas hampir dua hari Rafeah di tahan di hospital, kini emaknya itu sudah dibenarkan pulang untuk berehat.
Menurut doktor, Rafeah perlu banyak berehat. Tenangkan jiwa dan fikirkan agar serangan lemah jatung tidak akan menyerangnya lagi. Emosinya perlu stabil agar degup jantungnya sekata dan stabil seperti manusia normal yang lain.
Rafeah terus begitu. Termenung seperti murung. Punca rezekinya kini sudah musnah. Untuk mengukuhkan perniagaannya sebelum ini bukannya senang. Dalam masa sepuluh tahun baru dia bisa hidup senang. Kini, baru sahaja dia ingin hidup senang lenang, dugaan datang menimpa.
“Kedai kerepek kita dah musnah Dania,” keluh Rafeah sayu sekali. Kesedihan yang mengulit tangkai hatinya terlalu sukar untuk dikawal. Terlalu getir untuk dibendung. Bila memikirkan tentang di mana dia bisa mencari rezeki selepas ini membuatkan jiwanya semakin berserabut.
“Mak…” Didi Dania mengusap belakang emaknya perlahan. Dia tahu perasaan emaknya. Walau bagaimanapun, hidup perlu diteruskan. Mustahil yang sudah musah terbakar bisa berdiri semula. Jika ingin membina kedai kerepek itu semula, mereka perlukan modal yang baru. Bukannya modal kecil, tetapi modal besar untuk kos membaik pulih.
“Janganlah macam ni. Mak tak boleh terus stress. Tak elok untuk kesihatan. Mak kena happy sentiasa. Baru jantung mak tu tak lemah,” pujuk Didi Dania lagi risau sungguh dia dengan keadaan satu-satunya insan yang paling dia sayang di dalam dunia ini.
Rafeah memandang wajah anaknya. Serius sekali.
“Dah tu, kau nak mak bergelak ketawa dan riang ria hari raya?” serus Rafeah menanya. “Kedai kerepek mak hangus di jilat api kau tahu? Bukan dijilat kucing, ada faham?” sambungnya lalu kembali menangis penuh emosi.
Didi Dania mengeluh halus. Di saat-saat begini pun emaknya masih boleh berdrama komedi sedih.
“Ya… Dania tahu mak. Apa yang boleh kita buat? Semuanya dah berlaku. Kedai mak tu pun tinggal bahagian batu blok aje mak. Kalaulah batu blok tu boleh terbakar, sah-sah tinggal tapak je,” Didi Dania terus memujuk agar emaknya itu bisa menerima dugaan ini dengan pasrah dan hati yang terbuka. Bukan terus begini. Menangisi dugaan ini seolah tidak redha dengan ujian Tuhan pula. Pasti ada hikmah yang tersirat di sebalik kejadian ini.
“Mak tak kira. Mak nak orang yang bakar kedai kerepek mak tu kena tangkap lalu dihukum bakar sampai mati,” beria sekali Rafeah berkata-kata sambil mengesat air matanya yang mengalir lesu di pipinya. Dari sedih kini bertukar dendam pula.
Didi Dania menepuk dahi. Pening mendengar kata-kata emaknya itu. “Mana ada hukuman bakar sampai mati mak? Mak ni overlah.”
“Tak ada erk?” tanya Rafeah dengan wajah selamba.
Keluhan halus dihembus oleh Didi Dania. “Mak…” dia cuba menjelaskan. “Pihak polis masih menyiasat punca kebakaran itu. Kita tak tahu lagi kebakaran tu berlaku disebabkan khianat atau pekerja mak terlupa nak tutup gas semasa mengoreng. Apa-apa hal, kita perlu tunggu hasil siasatan pihak polis,” jelasnya agar emaknya tidak menyimpan harapan dengan menganggap kebakaran kedai kerepeknya adalah kebakaran yang dirancang.
Rafeah kembali merengek menangis. Sedih sekali. “Mak dah tak ada punca rezeki. Macam mana kita nak cari makan?”
“Mak… mak janganlah risau. Dania dah habis study, kan? Dah tiba masanya untuk mak berehat dan Dania pula mencari rezeki. Mungkin ini hikmah atas kejadian ini,” ujar Didi Dania semakin matang.
Hanya keluhan halus yang Rafeah hembuskan. “Mak baru merancang nak besarkan perniagaan kita. Tapi…”
“Dahlah mak…” pintas Didi Dania. “Mak cakap macam ni seolah menyalahkan takdir. Tak redha dengan ujian Allah. Apa yang berlaku bukan sia-sia mak. Pasti ada hikmah yang tersirat.” Didi Dania cuba menegakkan hala tujuan hati emaknya yang mula terpesong. Jika dibiarkan boleh tersenget akidahnya. Tidak percayakan takdir Allah.
Rafeah tidak menjawab. Hanya keluhan halus yang dihembus. Mereka dua beranak terdiam seketika. Kehabisan idea untuk berbicara. Masing-masing bermain dengan fikiran.
Ikutkan, hari ini Didi Dania akan pulang terus ke rumah emaknya ini. Tetapi, disebabkan tergeasa-gesa kerana kaget bila mendapat tahu emaknya diserang lemah jantung, dia hanya sempat membawa beberapa helai pakaiannya sahaja. Selebihnya masih di rumah sewanya. Kasihan Hameedah kerana terpaksa tinggal di rumah itu lebih lama kerananya. Banyak barang yang perlu diangkut ke mari.
“Assalamualaikum…” tiba-tiba kedengaran orang memberi salam di luar rumah.
“Mak ada jemput siapa-siapa ke rumah?” tanya Didi Dania kepada emaknya.
Rafeah hanya geleng tanpa bersauara.
“Dah tu, siapa yang datang? Mak ada plan buat kenduri ke hari ni?” banyak tanya pula Didi Dania ini di saat emaknya dalam keadaan kecelaruan emosi itu.
Tajam Rafeah memandang mata anaknya. Tertekan dengan pertanyaan anaknya itu. Aku dahlah tengah bersedih dan tertekan. Boleh pulak dia tanya bukan-bukan. Ada jugak yang aku benam kat kolam mati kat belakang rumah tu. Detik di hatinya kegeraman.
Didi Dania tersengih bila melihat pandangan tajam emaknya itu. Dari pandangan tajam emaknya itu, tahulah dia emaknya sudah marahkanya.
“Dania tengok siapa datang ya?” pinta Didi Dania lalu melangkah menuju ke muka pintu utama rumah separuh kayu dan separuh batu itu.
Rafeah hanya menjeling menyampah. Dia mula merebahkan tubuhnya pada penyandar sofa.
“Waalaikumussalam,” salam tadi baru dijawab selepas langkahnya sampai dimuka pintu yang sedia terbuka sedari tadi. Senyuman Didi Dania pudar perlahan-lahan selepas melihat dua orang tetamu tidak diundanganya itu. Dahinya berkerut tiba-tiba. Salah seorang dari tetamunya seolah dia kenal. Tapi di mana ya? Hatinya tertanya sendiri.




MILIKI NOVEL 'CINTA AWEK DAN PAKWE' VERSI PENUH DI PASARAN MAC 2012 TERBITAN BUKU PRIMA. DAPAT SEGERA SEBELUM KEHABISAN STOCK!!!





Gratisan Musik