BAB 08
SELEPAS
hampir dua
minggu memerah otak dan melalui debar untuk mejalani peperiksaan akhir
semester, akhirnya mereka sudah merdeka! Bebas dari segala terkenan belajar.
Selepas ini mereka akan berehat sepuas-puasnya. Bagi pelajar-pelajar yang bakal
masuk semester baharu tiga bulan akan datang, tidak boleh enjoy sepenuhnya. Mereka pula berbeza. Selepas ini mereka perlu
memikirkan tentang kerja selepas berpenat lelah menuntut ilmu.
“Syukur,
Alhamdulillah. Selesai juga peperiksaan kita.” Lega hati Didi Dania selepas
selesai menjawab kertas peperiksaan terakhir tadi. Apa yang pasti semua soalan peperiksaannya
dijawab penuh yakin dan bersemangat. Tesisnya juga sudah selamat sampai ke
tangan pensyarah. Selepas ini dia mahu berehat sepuas-puasnya sebelum
memikirkan tentang kerja. Fail dan bekas pen didakap di dada. Dia mula
melangkah seiringan dengan Feroz.
Feroz
tersenyum senang hati kerana dia juga turut terasa bahana kelegaan kerana
baharu sahaja selesai merentasi rintangan getir menjawab soalan peperiksaan
akhir semester yang cukup mencabar.
“Syukur
jugak. Selepas ni kita perlu fikir
pasal kerja pulak. Entahlah, aku pun
belum rancang nak kerja kat mana. Aku tengok budak-budak serumah aku, semua dah
sibuk apply kerja kat Job Street dan
Job Malaysia,” balas Feroz dengan satu keluhan halus.
“Ala…
relakslah Feroz. Jangan tergopoh-gapah. Insya-Allah, kalau ada rezeki pasti kau
akan dapat kerja, okey?” Didi Dania memberi kata semangat pada kawan baiknya
itu.
Feroz
angguk dengan senyum di bibirnya. “Eh, mana Noah?” tanya Feroz sambil memandang
ke arah belakang. Melihat ke arah bilik peperiksaan yang mula sesak dengan
pelajar-pelajar jurusan lain yang baharu sahaja keluar dari berjuang. Kelibat
Noah Zuhairi tidak kelihatan.
Didi
Dania mengeluh halus. “Dia ada hal. Katanya, ayah dia nak jumpa dia,” jawab
Didi Dania hendak tidak hendak sahaja.
Feroz
angguk akur sambil menaikkan kedua kening dan mencebikan bibirnya. Sekilas dia
terpandang wajah muram Didi Dania. Mereka berdua melangkah perlahan menuju ke
arah kafe kolej. “Kau kenapa ni nok?
Kau masih berteka-teki tentang Noah? Dia masih belum beri kata putus tentang
perasaan dia pada kau?” tanya Feroz sekadar ingin tahu.
Keluhan
halus, Didi Dania hembuskan. Gelengan perlahan ditonjolkan. Entahlah, hatinya
seolah sudah patah hati untuk terus mengharap agar ada ucapan, ‘Saya sayang
awak sebagai kekasih saya, Dania’ terluah dari mulut Noah Zuhairi. Namun,
sehingga kini dia bagai mengharap pada sesuatu yang tiada. Bagai diri ‘syok
sendiri’.
Sayu
hati Feroz melihat keadaan kawan baiknya itu. Dia sudah puas memberi kata-kata
berbunga pada Noah Zuhairi mengenai perasaan Didi Dania. Tetapi lelaki itu
seolah tidak pernah mahu memahami sekeping hati milik Didi Dania yang terlalu
mengharap agar hubungan mereka lebih dari sebagai kawan. Sebagai seorang lelaki,
Noah Zuhairi yang sepatutnya meluahkannya terlebih dahulu.
“Sabarlah
Dania. Aku yakin, semua ini pasti ada hikmahnya. Kalau kau memang sudah
dijodohkan dengan dia, pasti tidak akan ke mana. Percaya pada hikmah Allah ya?”
hanya kata-kata semangat yang Feroz mampu berikan. Ingin menolong Didi Dania
meluahkan perasaannya pada Noah Zuhairi dia khuatir akan lebih mengeruhkan lagi
keadaan. Jadi, lebih baik mereka sahaja yang menyelesaikan masalah jiwa mereka
sendiri. Dia tidak mahu masuk campur secara berlebihan. Bahaya, jika berlaku
apa-apa dia tidak mahu dipersalahkan di kemudian hari.
“Thanks,” balas Didi Dania sambil
mengukir senyum paksa. Mereka meneruskan langkah tanpa menghiraukan
manusia-manusia lain yang memotong langkah mereka. Namun, langkahnya terhenti
bila Feroz tiba-tiba sahaja memaut lengannya. Mujurlah berlapik.
“Kenapa?”
tanya Didi Dania kehairanan.
“Tu…”
Feroz menjuihkan bibirnya ke arah kawasan papan maklumat kolej di bangunan
admin. “Apa hal ramai-ramai tu? Ada orang tampal senarai nombor ekor ke?” tanya
Feroz sambil menarik lengan Didi Dania menuju ke arah papan kenyataan yang mula
dikerumuni oleh segerombolan pelajar. Apa yang pasti, kebanyakkan pelajar yang
mengerumini papan maklumat itu adalah dari kalangan pelajar sama in-take mereka.
“Entah-entah
result exam dah keluar kut?” duga
Didi Dania sambil mengekori langkah Feroz yang semakin laju.
“Banyaklah
kau result exam. Aku macam nak
terberak jawab paper haidrolik tadi,
takkan dalam masa sejam result dah
keluar. Sungguh hebat Prof. Ashraf tanda paper
kita. Sepantas kilat,” sindir Feroz sambil memberhentikan langkah mereka. Keadaan
papan maklumat itu yang semakin sesak menyebabkan mereka tidak dapat melihat
apa yang sedang meraka perkatakan ketika ini.
Didi
Dania terjinjit-jinjit cuba melihat apa yang sedang mereka semua hebohkan.
Masing-masing sedang bercakap-cakap tentang isu yang sedang tertampal di papan
kenyataan itu.
“Wah!!!
Fizo Omar buat shooting drama
terbaharu dia kat kafelah!” tiba-tiba kedengaran suara itu menjerit.
Didi
Dania terkejut. Seolah dia kenal dengan suara itu. Lekas pandangannya diliarkan
mencari kelibat Feroz. “Eh, mana ‘minah’ ni pergi?” dia tertanya sendiri.
Tiba-tiba semua yang ada di situ meluru menuju ke arah kafe kolej selepas
mendengar suara jeritan itu.
“Fizo
Omar kat kolej kitalah. Jom serbu dia, boleh kita ambil gambar dan minta sign,” teruja sekali salah seorang dari
mereka meluahkan niatnya. Dalam masa tidak sampai lima belas saat, keadaan di
hadapan papan maklumat itu lengang dan sunyi.
Didi
Dania terlopong.
Muncul
Feroz dari sebalik dinding yang memisahkan pejabat Hal Ehwal Pelajar dan pejabat
kaunseling sambil menutup mulut menahan gelak. “Pantang dengar nama artis jejak
kolej ni, masing-masing merenyam. Wal hal kena tipu aje dengan aku wakakakaka…” ujar Feroz lalu
menghamburkan tawanya.
“Jadi,
kaulah yang menjerit tadi? Jahat gila kau, kan?” sindir Didi Dania sambil
bercekak pinggang. “Nasib baik aku ni jenis tak minat artis. Kalau tak, dengan
aku sekali serbu kafe, kau tahu tak?” sanbungnya denga gaya marah-marah manja.
Di dalam hatinya dia senang dengan tindakkan kawannya itu. Dapatlah dia melihat
apa yang dihebohkan di papan maklumat itu dalam keadaan lapang dan selesa tanpa
kesesakkan.
“Sah-sahlah
aku tahu kau tu tak berapa minat entertainment
ni. Sebab tu aku sebut Fizo Omar. Hahaha…”
bukan main gelak sakan Feroz kerana dapat menipu rakan-rakan sekolejnya yang
lain.
Didi
Dania menjeling meluat lalu melangkah menuju ke arah papan maklumat. Melihat
apa yang menajdi isu hangat sebentar tadi. Feroz turut melihat apa yang
tertampal pada sekeping kertas berwarna hitam. Tulisannya di tulisan tangan
dengan mengunakan maker dakwat berwarna perak dan emas.
“Malam
Ttari Menari Gemerlapan? ‘Kampungnya’ nama? Kenapa dia tak letak nama Malam
Pesona Bintang ke? Malam Vogue ke? Nak jugak malam tari menari,” komen Feroz
suka-suka hati dia sahaja.
Lama
Didi Dania membaca setiap apa yang tertulis di atas kertas hitam bersaiz A4
itu.
“Hanya
untuk pelajar tahun akhir sahaja. Pakaian perlulah sopan dan bersesuai dengan
tarian romantik. Setiap yang hadir perlulah berpasangan. Tetapi kepada yang
solo tu, tak kisahlah kalau nak datang. Buat memeriahkan majlis sahaja. Turut
di adakan pencarian dewa dewi kolej pada malam itu.”
“Perlu
ke kau nak translate balik pada aku?”
tanya Feroz dengan wajah bosan sambil bercekak pinggang.
Didi
Dania hanya tersengih. Feroz kembali menatap kertas hitam itu.
“Kau
pergi tak?” tanya Feroz tanpa memandang wajah Didi Dania di sebelahnya. Kusyuk
benar dia membaca apa yang tertulis di atas permukaan kertas hitam itu.
“Tak
kut. Lagipun aku tak ada baju cantik nak pakai,” laju sahaja Didi Dania
menjawab. Sebenarnya jawapa itu hanya alasannya sahaja. Hakikat yang sebenar,
dia memang tidak boleh ‘masyuk’
dengan majlis-majlis sebegitu.
Feroz
memandang Didi Dania. “Ala nok…
jomlah pergi. Kau tak tengok dia tulis apa? Kalau solo pun tak apa, saja
memeriahkan majlis. Jomlah nok, pasal
baju tak payahlah kau risau, aku ada member
boleh sponsor baju kau.” Beria Feroz
memujuk. Dia teringin sangat menghadiri majlis tradisi kolej ini. Sebelum ini
dia hanya mendengar betapa gempaknya majlis ini yang dibuat oleh senior-senior mereka. Jadi, bila sudah
ada peluang ini, dia juga ingin merasa apa gempaknya di majlis itu.
“Ah,
tak naklah aku. Aku tak pandailah nak ke majlis-majlis macam ni,” Didi Dania
cuba mengelak. Dia memang tidak suka majlis keramaian seperti majlis itu.
Feroz
terpaku sambil mengeloh bosan.
*****
DUA rakan baik itu melangkah penuh
bergaya dengan beg tangan dari Gucci dan Prada di tangan masing-masing.
Melangkah kucing penuh bergaya dengan pakaian berjenama tersarung di tubuh
masing-masing. Lorong yang menghubungan bangunan dewan peperiksaan dan bangunan
admin itu dilalui penuh dengan keangkuhan sekali. Mentang-mentanglah anak orang
berada, bergaya sahaja sentiap masa.
Namun,
langkah Julian terhenti mendadak semasa melintasi kawasan bilik Hal Ehwal
Pelajar (HEP) yang berada di sisi kanannya. Hidungnya mencium satu haruman yang
begitu sinonim dan dibencinya. Haruman dari Gucci Flora, memang menjadi wangian
yang paling dibencinya ketika ini.
Siti
Nurhaliza di sisinya turut terkejut bila melihat kawan baik merangkap kawan
sehati sejiwanya itu berhenti melangkah secara mendadak.
“Apasal
kau berhenti dari melangkah?” tanyanya kehairanan sambil meliarkan pandangannya
ke arah sekelilinganya. Mecari kelibat Noah Zuhairi. Hanya Noah Zuhairi sahaja
yang sering membuat langkah Juliana selalu terhenti.
“Kau
tak bau apa yang aku bau?” tanya Juliana sambil menyungutkan hidungnya mencari
dari mana arah haruman yang cukup diantinya ketika ini. Hidungnya
tersungut-sungut bagai cencorot. Buruk sekali gayanya.
Siti
Nurhaliza yang ‘sengal’ turut membuat perkara yang sama. Cuba menghidu bau
haruman yang sedang dihidu oleh kawan baiknya itu. “Aku tak bau apa-apa pun?”
Siti Nurhaliza kehairanan. Hidungnya masih tidak menghidu apa yang telah
dimaksudkan oleh Juliana.
“Cubalah
bau betul-betul,” maki Juliana terus mencari bau wangian itu.
Siti
Nurhaliza tidak membantah terus mencari haruman yang telah dimaksudkan oleh
Juliana itu. Pandangannya terhenti pada kelibat dua manusia yang sedang berdiri
mengadap papan maklumat di sisi kanan mereka. Sekarang baru dia tahu bau apa
yang telah dimaksudkan oleh Juliana.
“Aku
dah tahu bau apa,” ujar Siti Nurhaliza sambil mencuit bahu Juliana.
“Apa?”
“Tu…”
Siti Nurhaliza menjuihkan bibirnya yang berkilat bak air itu ke arah dua
manusia yang dilihatnya tadi. Pelajar-pelajar lain yang melintasi mereka berdua
yang sedang berdiri ditengah-tengah ruang lobi itu hanya memandang pelik dan
hairan ke arah mereka yang sememangnya sudah dianggap pelik oleh semua orang.
Bila
mata Juliana menangkap kelibat dua manusia itu, serta merta wajahnya dari
tampak biasa kini sudah menjadi muka sinis dan menyakitkan hati. Hatinya
tiba-tiba diulit rasa tidak puas hati tanpa sebab. Disebabkan gadis itu
cintanya terhalang.
“Jom,”
ajak Juliana lalu dia terus melangkah menuju ke arah dua manusia itu dengan
gaya angkuh. Bunyi hentakkan kasut tumit tinggi mereka berdua bergema memenuhi
ruang lobi itu. Dahi mereka berdua berkerut bila melihat dua manusia itu begitu
kusyuk melihat papan meklumat di hadapan mereka.
“Ke
tepi,” dengan angkuh dan kasar, Juliana menolak tubuh Feroz dan Didi Dania dari
terus menatap sekeping kertas bersaiz A4 berwarna hitam itu.
“Apa
sahaja yang kamu baca erk?” tanyanya
langsung tiada perasaan serba salah. Sudahlah menolak orang tanpa sebab, tidak
reti pula untuk memohon maaf.
Feroz
dan Didi Dania tergenjak beberapa langkah ke tepi. Mujurlah masing-masing dapat
mengawal imbangan badan. Jika tidak, ada juga yang mencium lantai ruang lobi
itu tadi. Niaya sahaja.
“Hek eleh minah dua ekor tak cukup zat
ni. Boleh pulak nak main tolak-tolak,” marah Feroz cuba menyerang Juliana yang
sedang asyik membaca apa yang telah dia dan Didi Dania baca tadi. Belum pun
habis baca dengan teliti, Juliana muncul cari pasal. Namun, perbuatannya itu
telah ditahan oleh Didi Dania.
“Relaks
Feroz. Jangan nak memalukan diri kau. Kau layan minah senget ni, dengan kau-kau
sekali mereng nanti,” ujar Didi Dania sambil mengait hujung baju Feroz. Dia
cuba meredakan amarah Feroz. Melawan kata-kata Juliana dan berlawan dengan
wanita itu bukan sesuatu yang memuaskan hati. Sebaliknya ia akan memakan diri.
Juliana anak orang berada. Macam-macam dia boleh lakukan kepada orang yang cuba
mengasari tubuhnya yang ‘kononnya’ gebu. Wal hal, sekeping sahaja tubuhnya.
Mujurlah
kata-kata Didi Dania itu telah meredakan amarahnya. Jika tidak, sudah sejak
seminit yang lalu muka Juliana sudah lebam dengan tumbukan padunya. Walaupun
dia lembut dan lemah gemalai. Bila marah, kuasa ‘jantannya’ pasti akan
terkeluar.
“Malam
Tari Menari Gemerlapan? Jadi, kau orang berdua tengok jemputan nilah ya?” tanya
Juliana sinis sedikitpun tidak memandang wajah Didi Dania dan Feroz yang mula
meluat di situ.
“Suka
hatilah kita orang nak tengok ke apa? Mata kita orang. Bukan mata kau!” sindir
Feroz bengang. Didi Dania di sebelahnya hanya diam. Malas untuk bertegang urat
dengan sepupu kepada Noah Zuhairi itu. Berlagak diva!
Juliana
tergelak. Siti Nurhaliza disebelahnya yang turut menbaca apa yang tertanpal di
hadapan mereka sama-sama tergelak sinis. Dengan perlahan Juliana memandang
penuh kebencian ke arah Didi Dania yang sedang berdiri di sebelah Feroz di sisi
kirinyanya.
“Hey perempuan, kau berangan nak ke
majlis ni ke?” tanya Juliana berlagak sekali. Seolah majlis itu dia yang anjurkan.
Didi
Dania memandang Feroz. Tidak tahu mahu membalas kata-kata Juliana itu.
Sebaliknya dia buat muka toya dan tidak bersalah. Malas mahu melayan kerenah
Juliana yang tidak habis-habis mahu membencinya. Tapi, dia tidak kisah dengan
semua itu. Setiap orang ada hak untuk membenci. Lagipun, Juliana bukan manusia
yang menjadi kepentingan dalam hidupnya. Ada atau tidak Juliana di dalam
hidupnya, sedikitpun tidak pernah mendatangkan kesenangan. Malapetaka adalah!
“Jangan
nak beranganlah perempuan. Kau ingat kau layak ke nak ke majlis ni? Sah-sah
semua yang datang ke majlis ni pakai baju yang meletop dan gempak. Perempuan
macam kau ni pandai ke nak bergaya? Entah-entah gaun malam pun tak pernah
pakai, hahahaha…” ejek Juliana suka
sakali sambil tertawa besar. Siti Nurhaliza di sebelahnya turut tertawa.
“Eh
perempuan ni dah lebih…” Feroz sudah panas hati. Walaupun kata ejekan itu untuk
Didi Dania. Dia sebagai kawan baik Didi Dania tetap terasa dengan kata-kata
Juliana yang lebih terarah kepada penghinaan. Dia tahu Didi Dania tidak sekaya
mereka berdua. Tidak berapa pandai bergaya berkonsepkan glamor. Tapi itu bukan
alasan dia boleh menerima ejekkan.
“Feroz,
jangan!” Tahan Didi Dania bila Feroz mula mahu menyerang Juliana. Mujurlah dia
bisa menahan. Jika tidak, ada juga yang makan penumbuk.
Juliana
sudah menaikan dadanya cuba membalas segala serangan Feroz. “Masalahnya kau ni
perempuan ke? Tiba-tiba aje nak sentap?”
“Eeee…” amarah Feroz semakin meledak
selepas mendengar sindiran Juliana itu. Ikutkan hati ingin sahaja dia menumbuk
mulut Juliana seperti menumbuk cili. Mujurlah Didi Dania terus kukuh
menahannya.
“Dasar
perempuan mulut puaka!” maki Feroz lalu berlalu meninggalkan kawasan itu. Lagi
lama dia di situ semakin tertekan jiwanya. Didi Dania mengekori langkahnya dari
belakang.
Langkah
Feroz dan Didi Dania diekori dengan hujung mata. Mereka berdua tertawa
mengejek. “Yang seorang ‘sotong’. Yang seorang minah kampung. Sama-sama sezaman
dan sealiran. Patutlah boleh hidup bersama aman dan damai,” luah Juliana
sengaja mahu sedapkan hati.
Siti
Nurhaliza tergelak sinis. “Kau agak dia akan ke majlis ni ke?” tanya Siti
Nurhaliza sambil memandang semula ke arah kertas jemputan tadi.
“Jangan
mimpi dia nak datang ke majlis yang vogue
macam ni. Tengok ajelah, aku yakin dia tak akan datang malam tu.” Yakin sungguh
Juliana dengan kata-katanya.
“Kalau
dia datang macam mana?” tanya Siti Nurhaliza akan kemungkinan yang mungkin akan
berlaku.
Juliana
memandang wajah Siti Nurhaliza dengan wajah serius. Tidak terfikir pula akan
kemungkinan itu. Dia menyangka Didi Dania yang tidak berapa pandai berfesyen
akan ke majlis gilang-gemilang begini. Dia harus buat sesuatu.
*****
DENGAN
tergesa-gesa
Noah Zuhairi berlari menuju ke arah meja setiausaha ayahnya. Dia sudah
terlambat. Waktu temu janjinya dengan ayahnya sudah berlalu sejak empat puluh
lima minit yang lalu. Tercungap-cungap dia menarik nafas di hadapan gadis
tinggi lampai yang sedang kusyuk menaip sesuatu pada panpan kekunci
komputernya.
“Ayah
saya ada kat dalam tak?” tanya Noah Zuhairi sambil mengusap dada meredakan
nafas yang terasa sesak. Aras lima, kedengarannya seolah tidak tinggi. Namun,
bila semua lif yang ada di bangunan ini sibuk mengangkut setiap manusia yang
ada, terpaksalah dia mendaki setiap anak tangga. Penatnya hanya Tuhan sahaja
yang tahu.
Wanita
berbaju kemeja ketat beropol di dada itu tersenyum sambil membetulkan letak
duduk cermin matanya yang tersangkut pada batang hidungnya. Senyuman melirik di
hadiahkan untuk anak kepada majikannya itu. “Dato' Mikael dan Tuan Razy Radin
sudah hampir sejam menanti Tuan Noah Zuhairi di dalam pejabatnya,” jawabnya
santun tetapi kedengaran sinis.
Noah
Zuhairi hanya tersengih sumbing sambil mengaru belakang kepalanya. Helmet yang
terkepit di ketiak diletak di atas meja setiausaha ayahnya itu.
“Tolong
jaga helmet saya sekejap erk?”
pintanya selamba lalu menyusun langkah menuju ke arah pejabat ayahnya yang
tertutup rapat. Hatinya tiba-tiba sahaja berdetak pantas. Apa sahajalah isu
yang akan dibangkitkan nanti? Hatinya tertanya dalam gelisah.
Setiausaha
ayahnya hanya tersenyum sumbing melihat gelagat kelam kabut anak majikannya itu
sebelum kembali menatap skrin komputer untuk meneruskan kerjanya. Yang abang
serius gila. Yang adik ‘sengal’ semacam. Ayahnya pulak berdedikasi terlebih. Satu keluarga pelik. Pening kepala otak
aku nak melayan kerenah anak beranak ni. Bebelnya sekadar di dalam hati.
Noah
Zuhairi menarik nafas dalam lalu dihembus perlahan. Meredakan sesak nafas dan
debaran yang bergabung menjadi satu. Ikutkan hati ingin sahaja dia berpatah
balik ke rumah sewanya dari bertandang ke pejabat ini. Bila ayahnya sudah
memanggil ke pejabatnya, sudah pasti ada sesuatu yang serius bakal
dibincangkan.
Dengan
sisa keberanian yang ada, pintu kayu berwarna cokelat itu diketuk dari luar
untuk beberapa kali. Kedengaran perlahan suara ayahnya menyuruhnya masuk dari
dalam. “Ya Allah, kau selamatkanlah hamba-Mu ini dari tengkingan dan makian
dari ayah aku,” doanya sebelum memulas tombol pintu.
Terkuak
sahaja daun pintu ke dalam, kelihatan ayahnya sedang duduk bersandar pada
kerusi memandang ke arahnya. Di hadapan meja ayahnya kelihatan abangnya sudah
memandang sinis lagi jaki ke arahnya. Dengan sengih sumbing dia melangkah masuk
ke dalam pejabat itu.
“Assalamualaikum,”
ucapnya sambil melangkah menghampiri ayahnya yang kelihatan serius sekali.
“Ayah…” Noah Zuhairi menghulurkan tangan untuk bersalam. Bila salamannya
bersambut, tangan si tua itu dikucup pernuh hormat. “Maaf ayah, Noah
terlambat,” pohonnya dengan senyum yang dimaniskan romannya.
Dato'
Mikael mengeleng perlahan. Sudah terbiasa dengan sikap sambil lewa dan tidak
pernah tepat waktu anak bungsunya itu. “Duduk,” pelawanya sambil memandang ke
arah kerusi kosong di sebelah anak sulungnya.
Noah
Zuhairi mengukir senyum di bibir untuk ayahnya lalu dia melangkah menuju ke
arah kerusi kosong di sebelah abangnya. Bila pandangannya bertentang dengan
pandangan Razy Radin, hanya pandangan sinis yang menujah anak matanya. Ada
sinar kebencian di sebalik pandangan Razy Radin. Dan dia sudah lali dengan
pandangan itu. Sejak kecil dia dipancarkan dengan pandangan sedemikian.
“Bang…”
dengan terpaksa Noah Zuhairi menghulur tangan kepada abangnya tanda hormat di
hadapan ayahnya. Ikutkan hati malas dia ingin bersalaman dengan abangnya itu
yang sering menindasnya dan tidak puas hati dengannya.
Razy
Radin menjeling sinis ke arah adiknya itu. Salaman Noah Zuhairi disambut hendak
tidak hendak sahaja. Sakit hatinya bila terpaksa membazir waktu di pejabat ini
hampir sejam mendengar bebelan ayahnya yang lebih membela satu-satunya adiknya
itu.
“Ada
apa ayah nak jumpa Noah ni?” tanya Noah Zuhairi selepas selesa duduk.
Dato'
Mikael tidak terus menjawab. Wajah anak bungsunya itu di pandang lama. Jaket
denim yang tersarung pada tubuh anaknya di pandang sekilas. Gaya sempoi dan
ranggi. Satu-satunya anak yang sukar untuk dilentur sejak rebung. Inikan pula
mahu dilentur bila sudah menjadi buluh. Boleh patak-riuk dibuatnya. Hanya kata
nasihat yang mampu dia berikan untuk mencorak masa depan Noah Zuhairi. Jika
dipaksa, khuatir pula anaknya itu memberontak lalu melakukan perkara yang
tidak-tidak.
“Exam kamu tamat hari ini, kan?” jawab
Dato' Mikael dengan soalan. Langsung tiada kaitan dengan pertanyaan anaknya
tadi.
Berkerut
dahi Noah Zuhairi selepas mendengar pertanyaan ayahnya itu. Sekilas dia
memandang Razy Radin di sebelahnya. Ayah aku ni keliru atau dia tak faham
konsep soalan aku? Hatinya tertanya sendirian.
“Ya…
baru habis tadi. Noah terus bergegas ke sini sebab panggilan ayah bunyinya
macam serius sangat perjumpaan ni,” jawab Noah Zuhairi sambil menyandarkan
tubuhnya pada kerusi.
Dato'
Mikael menegakkan tubuhnya sambil menogkat tubuh pada meja. Wajah Noah Zuhairi
dipandang dalam-dalam. “Apa rancangan kamu selepas tamat belajar? Mahu terus
bekerja atau sambung pelajaran lagi? Ayah sudah sedikan jawatan…”
“Ayah…”
pintas Noah Zuhairi sebelum sempat ayahnya menghabiskan kata-katanya. “Noah
baru habis exam. Kalau boleh Noah nak
rehatkan otak dulu. Takkan baru habis exam
terus nak fikir pasal kerja?” sambunganya lagi dengan nada merungut.
Dato'
Mikael mengeluh halus.
Mendengarkan
kata-kata adiknya itu sepantas kilat Razy Radin memandang wajah Noah Zuhairi
itu dengan pandangan yang semakin tajam, sinis dan benci sekali. “Apa hal kau
potong cakap ayah sebelum ayah habiskan kata-katanya?” marah Razy Radin pada
adiknya itu.
Noah
Zuhairi membalas pandangan sinis abangnya itu. Apa hal pulak dia ni tiba-tiba nak naik angin ni? Sejak bila dia jadi bapak
aku? Bisik di hati Noah Zuhairi tidak puas hati dengan kata-kata marah abangnya
itu.
“Dulu,
masa aku tamat belajar, aku terus kerja tahu? Tak ada masa nak bercuti,” Razy
Radin mengungkit tentang kehidupannya. Bercuti selepas penat belajar tiada di
dalam jadual kehidupannya. Baru tamat belajar seminggu, ayahnya sudah
membebaninya dengan kerja-kerja syarikat.
“Yang
kau nak sibuk sangat ni kenapa bang? Aku bukannya melawan cakap kau,” Noah
Zuhairi membalas. Tidak puas hati dengan kata-kata abangnya itu. Dia tahu
abangnya itu tidak pernah senang hati dengan hidupnya sejak kecil lagi. Tiada
kebebasan dari ayahnya menyebabkan abangnya itu sentiasa iri hati dengan
hidupnya.
“Masalahnya…”
“Sudahlah
tu… sampai bila kamu dua beradik ni nak bertekak?” potong Dato' Mikael tidak
senang hati bila melihat kedua anaknya itu saling berbalah. Sejak kecil setiasa
bercanggah pendapat. Dia sedar salahnya, perbezaan didikan membuatkan dua orang
anaknya itu memilik prinsip dan gaya hidup yang berbeza. Yang seorang menuruti
setiap kata-katanya. Yang seorang lagi degil susah untuk dibendung.
Mendengarkan
suara ayah mereka, serentak mereka berdua terdiam. Tiada yang berani bersuara.
Sesakit manapun hati mereka kepada lelaki di hadapan mereka ketika ini. Mereka
tetap perlu menghormati Dato' Mikael kerana lelaki itu adalah ayah mereka. Yang
telah menjaga mereka sejak kecil tanpa isteri di sisi. Sejak mereka melihat
dunia, mereka berdua tidak pernah kenal siapa ibu mereka. Apa yang mereka tahu,
ibu mereka telah meninggal dunia sejak mereka kecil lagi.
“Bukan
Noah yang cari pasal…” gumam Noah Zuhairi sambil memandang ke arah lain.
Menyindir Razy Radin di sebelahnya.
Tajam
Razy Radin memandang wajah Noah Zuhairi di sebelahnya. Ikutkan hati mahu sahaja
dia memaki adiknya itu. Dasar tidak sedar diuntung. Sudah diberi kebebasan
masih mahu banyak permintaan. Akhirnya dia juga yang terpaksa uruskan syarikat
ini bersama ayahnya itu. Dipendam perasaannya demi menjaga air mukanya di
hadapan Dato' Mikael.
“Berapa
lama kamu mahu bercuti ni?” Dato' Mikael menukar topik perbualan demi mengubah
suasana tanpa dia sedar pertenyaannya itu telah membakar segenggam hati salah
seorang dari anaknya itu.
Terkejut
Razy Radin mendengar pertanyaan ayahnya itu. Sekali lagi permintaan adiknya
dituturi tanpa banyak perdebatan dan paksaan oleh ayahnya. Dia merasa
ketidakadilan di dalam hidupnya terus berlaku. Jika dia berada di tempat adiknya
ketika ini, sudah pasti ayahnya akan berkeras untuk tidak melunaskan
permintaannya dengan alasan dia adalah anak sulung dan tunggak utama dalam
keluarga.
Noah
Zuhairi sudah tersengih sinis selepas mendengar pertanyaan ayahnya itu.
Kemenangan berpihak kepadanya lagi. Puas hatinya dapat melihat wajah tidak puas
hati abangnya ketika ini. Kau ingat kau boleh menang? Ini Noahlah… Noah
Zuhairi… tak akan kalah dengan kata-katanya walaupun dengan ayah sendiri. Bisik
di hati Noah Zuhairi bangga sekali.
Razy
Radin merengus halus cuba meredakan rasa bengang dan marah yang sedang
bergabung menjadi satu di dalam jiwanya ketika ini. Sabar Razy, kesabaran kau
akan berbaloi tidak lama lagi. Hatinya cuba menyabarkan jiwanya yang sedang
terbakar.
“Razy
rasa ayah dah mencapai kata putus. Razy dah tak diperlukan di sini. Razy minta
diri dulu. Assalamualaikum,” tanpa mendengar kata-kata balasan dari ayahnya,
Razy Radin terus melangkah meninggalkan pejabat itu. Dia tidak boleh terus
berlama-lama. Dia khuatir amarahnya meledak dan akan menghumban dia ke dalam
golongan manusia yang menderhaka terhadap ayahnya. Dia tidak mahu itu berlaku.
Dato'
Mikael hanya mampu memandang anak sulungnya itu berlalu meninggalkan pejabatnya
itu. Dia tahu situasi anak Razy Radin. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Sikap
kedua anaknya sungguh berbeza bagai langit dan bumi. Cara bercakap dan
menyampaikan cadangan juga berbeza. Dia bukan sengaja mahu mengongkong hidup
Razy Radin. Dia cuba buat yang terbaik untuk masa depan anaknya itu. Kerana dia
yakin hanya Razy Radin yang bisa menguruskan syarikatnya berbanding Noah
Zuhairi yang tidak pernah serius dalam membuat keputusan. Jika didesak pasti
akan memerontak.
Noah
Zuhairi hanya tersenyum bangga melihat abangnya berlalu meninggalkan pejabat
itu. Puas hatinya ketika ini.
*****
“DASAR minah senget kepala boil (tidak betul). Suka-suka hati laki
tiri mak dia aje nak menghalau kita dari terus menatap kertas hitam bertulisan
perak kat papan maklumat tu. Apa? Dia ingat papan maklumat tu ayah dia orang
punya ke?” bebel Feroz sambil melangkah meninggalkan bangunan admin itu.
Didi
Dania mengeleng kepala sambil menekap telinga dari luar tudungnya. Hampir cair
tahi telinga mendengar bebelan Feroz sedari tadi. “Ya ampun Feroz… tak habis
lagi kau membebel ke? Penat gegendang telinga aku ni bergetar nak proses
bebelan kau yang macam murai tercabut ekor tu,” tegur Didi Dania sambil
menjeling menyampah. Langkah masih diteruskan menuju ke arah cafeteria kolej. Kelihatan cafeteria agak padat dengan
pelajar-pelajar lain. Maklumlah waktu makan tengah hari.
Feroz
terdiam sambil menutup mulutnya dengan hujung jari. Malu sendiri kerana ditegur
sedemikian. Tidak perasan pula mulutnya sejak tadi membebel. Bukannya apa, dia cuma
bengang dengan sikap Juliana dan kuncunya Si Siti Nurhaliza itu. Suka-suka hati
sahaja mahu menyindir kawan baiknya itu tidak pandai berfesyen. Keluhan halus
dihembus keluar.
“Aku
bukannya apa Dania. Aku cuma tak puas hati dengan dua orang perempuan mulut
dasar tak berinsurans tu. Senang-senang aje dia mengata kau, kan? Ada ke dia
kata kau tak pandai bergaya. Punyalah kau penat melilit selendang jadi tudung
atas kepala kau tu, dia kata kau tak ada taste.
Buta fesyen sungguh mererka,” Feroz sudah sambung membebel.
Didi
Dania menjeling ke langit. Feroz kalau sudah membebel. Mentari yang terpacak di
atas kepala pun tidak terasa bahang panasnya. Membebel tidak henti-henti kalau
sudah bengang. Kalau sudah marah, lagi teruk dari ini agaknya.
“Dahlah
Feroz. Buat apa kita nak bengang dengan dua minah sewel plus senget tu? Kau
jugak cakap tak payah layan dua orang
minah tu. Lagipun… apa yang mereka kata tu, betul. Aku memang tak pandai
bergaya,” akur Didi Dania tentang dirinya.
Bukannya
dia tidak pandai bergaya. Dia hanya suka memakai pakaian yang selesa pada tubuhnya.
Blaus, kemeja, t-hirst, skirt labuh, jeans dan baju kurung adalah baju
kegemarannya. Lebih selesa di tubuhnya. Walaupun terasa hati dengan sindiran
Juliana. Dia tetap menerima hakikat yang sebenar dengan hati yang pasrah.
“Kau
bukannya tak pandai bergaya, kau cuma malas, kan? Kau takut orang fikir kau
dengan minah senget dua orang tu sama macam kau. Materialistic dan plastic.
Mekap setebal-tebal alam menempek kat muka. Lelaki, seorang pun tak ada yang
nak kat dia orang. High maintenance
katanya!” Feroz masih mahu menangkan kata hatinya.
Didi
Dania hanya mengeluh. Berlawan kata dengan Feroz bukan satu tindakkan yang
baik. Lebih baik dia mendiamkan diri dan menadah telinga sahaja dari isu ini
berlanjutan dan semakin panjang. Bukan dia tidak mampu untuk melawa dan
bergaya. Tapi, dia lebih suka dengan gaya sempoi dan ringkas. Membazir amalan
syaitan.
Diam
seketika. Mereka terus menapak pelahan menuju ke cafeteria. Dua minit kemudian masing-masing sudah selasa duduk.
Mereka telah memilih meja yang agak di penjuru. Keadaan cafeteria riuh rendah dengan suara-suara pelanggan lain yang turut
mengisi perut yang kelaparan. Masing-masing kelihatan gembira kerana
kebanyakkan dari mereka sudah tamat peperikasaan hari ini.
“Nok… jomlah,” tiba-tiba sahaja Feroz
merengek sambil menongkat dagu di atas meja.
Didi
Dania terkejut. Berkerut dahinya memandang Feroz. “Apa hal pulak ni? Tiba-tiba merengek dah macam aku ni mak kau. Jomlah ke
mana?” jawab Didi Dania dengan pertanyaan.
“Isy
dia ni memang dasar ratu semut tau… pelupa. Kau kena amnesia ke nok? Tadi duk bergaduh
dengan dua orang minah senget tu pasal majlis Tari Menari Gemerlapan tu,
tiba-tba kau tanya aku balik nak ke mana?” rengus Feroz sambil menjeling
menyampah. Meluat!
Didi
Dania tergelak kecil. “Ooo… ingatkan nak pergi manalah tadi. Kau pun satu, tiba-tiba
aje jomlah. Aku ingat kau nak ajak aku order
makanan.”
“Isy
dia ni… sengal biawak betullah. Sah-sah cafeteria
ni layan diri. Mana ada order segala.
Kau pun nak jadi macam minah dua orang tu ke? Kepala senget. Perasan chantek katanya….”
Didi
Dania tergelak melihat gaya percakapan Feroz yang melewe-lewe itu. “Entahlah
Feroz. Kan dia tulis kat situ, sesiapa nak pergi kena ada pasangan… dan aku…”
“Dan
kat situ jugak ada tulis sesiapa yang
tak ada pasangan boleh datang jugak
untuk memeriahkan majlis. Kalau kau tada partner,
aku pun tak ada partner. So, malam tu kita sama-samalah tak ada partner. Apa masalahnya?” pintas Feroz
pantas. “Atau kau nak ajak Noah tapi kau segan?” sambungnya lagi sambil
menaikkan kedua keningnya. Yakin benar dia menebak.
“Hisy,
tak adalah…” Didi Dania terasa malu. Terasa berbahang wajahnya. Tapi apakah
perkara itu boleh berlaku? Setahunya dia juga sama seperti Noah Zuhairi. Kurang
gemar dengan majlis tari menari. Kalau konsert rock tu mungkin Noah Zuhairi pergi. Kalau majlis jiwang macam ini…
“Aku
tak ada bajulah. Baju aku semua simple
aje. Seganlah. Lagipun kalau aku tak ada, tak adanya majlis tu tiba-tiba cancel. Kalau kau nak pergi, kau
pergilah. Aku macam…”
“Ala…”
Feroz memintas lagi. “Kalau Noah Zuhairi nak ke majlis tu, kau nak pergi tak?”
Didi
Dania terkedu mendengar kata-kata Feroz itu. Bersungguh sekali Feroz mahu dia
ke majlis itu. “Yang kau beria nak ajak aku ke majlis tu apa hal ni?” Didi
Dania mula musykil.
Feroz
tersengih. “Sebenarnya sejak awal-awal dulu aku teringin nak tahu apa yang havoc sangat majlis tari menari tu.
Setiap hujung semester, pasti ada majlis ni, senior-senior kita buat. Jadi,
bila dah sampai turn kita ni, aku nak
jugak tau apa ke bendanya yang best majlis tu sampai diperkatakan oleh
senior dan junior kita. Eh, bukan kita senior ke sekarang?” jelas Feroz. Sempat
lagi dia menanya di hujung penjelasannya.
Keluhan
halus, Didi Dania hembuskan. Dia berbelah bahagi. Sejujurnya, jika Noah Zuhairi
mahu ke majlis itu dengannya. Sudah pasti dia akan pergi juga. Tapi masalahnya
sekarang… majlis itu lusa. Mana aku nak cari baju? Lagipun, aku mana ada duit
nak beli baju cantik-cantik? Hatinya mengeluh kecewa.
“Nok… jomlah,” beria Feroz mengajak.
“Aku
tak ada bajulah Feroz,” keluh Didi Dania lemah. Manusia-manusia di
sekelilingnya dipandang sekilas.
“Bab
baju kau tak perlu risau. Aku ada member boleh
sponsor kau,” gembira hati Feroz bila
ada harapan untuk Didi Dania muncul di majlis itu. “Pasal Noah kau jangan risau
jugak. Kat rumah nanti taulah aku nak
pancing dia supaya datang ke majlis tu,” sambungnya lagi dengan nada yang cukup
teruja.
Senyuman
mula terukir di sebalik bibir Didi Dania. Berbunga hatinya bila Feroz beria
mahu mengajak Noah Zuhairi ke majlis itu bersamanya. Tanpa mereka sedari, ada
dua pasang telinga sedang mencuri dengar perbualan mereka.


Gratisan Musik