Cinta Awek & Pakwe - 05


BAB 05
KUSYUK sekali Noah Zuhairi memandang ke skrin lap-topnya. Beginilah keadaan lelaki itu jika ada masa terluang. Sudah pasti cerita animasi dari negera Jepun itu menjadi tontonanya. Sehinggakan rakan serumahnya yang lain naik hairan melihat sikap pelik rakannya itu.
Mungkin inilah yang dinamakan minat. Jika sudah meminati sesuatu perkara itu, tiada apa yang bisa menghalang. Sanggup menunggu berhari-hari semata-mata ingin memuat turun anime terbaharu dari negara matahari terbit itu. Terkadang ada juga yang tiada sarikata bahasa Inggeris, Noah Zuhairi tetap boleh faham jalan ceritanya. Hal itu menambahkah lagi rasa hairan manusia-manusia di sekelilingnya.
“Tak habis-habis dengan anime kau tu,” sindir Kamal Adli, salah seorang rakan serumah Noah Zuhairi yang sering terperap di rumah.
Noah Zuhairi tidak mengendahkan sindiran itu. Fokusnya diberikan sepenuhnya pada skrin lap-topnya. Animasi dari Jepun itu lebih mengamit perhatiannya dari melayan Kamal Adli berbual.
“Woi, boleh pulak dia buat tak tahu aje aku membebel ni,” maki Kamal Adli sambil mencampak sebatang pen yang tercapai oleh tangannya ke arah Noah Zuhairi yang sedang meniarap di atas tilam di ruang tamu yang lapang itu.
Biasalah rumah bujang, ada bilik tapi masing-masing tidur berlonggok di ruang tamu. Bersepah-sepah ruang tamu mereka dengan pelbagai barang. Jika boleh ruang itulah ingin di jadikan kamar tidur, tempat belajar, menonton televisyen dan makan. Bilik tidur yang ada dijadikan stor pakaian mereka yang berlonggok tidak berlipat. Silap-silap boleh keliru, mana baju yang sudah di cuci dan mana baju yang belum dicuci. Haru…
“Kau ni apa hal nak baling-baling aku dengan pen? Kenapa tak baling aku dengan skrin monitor LCD 14 inci kau tu?” maki Noah Zuhairi balik sambil menjeling menyampah pada Kamal Adli yang sedang duduk bersandar di tepi dinding memandang ke arah televisyen yang tidak terpasang.
“Dah aku cakap dengan kau, kau buat tak tahu aje. Benganglah aku,” balas Kamal Adli.
Noah Zuhairi yang sedari tadi meniarap memandang skrin lap-topnya mula bangkit mendudukan diri. Fokusnya untuk terus menonton anime kegemaran sudah hilang. “Kau nak apa? Dah tak ada member nak berbual, ke? Aku jugak yang jadi mangsa,” rungut Noah Zuhairi sambil menekan sesuatu pada papan kekunci lap-topnya.
Kamal Adli tergelak. “Tahu pun. Kau tak keluar ke?” tanyanya selepas tawanya mereda.
Dalam masa tidak sampai tiga puluh saat, lap-top Noah Zuhairi terpadam sendiri. Skrin lap-topnya ditutup lalu diletak ke tepi. Dia mengesotkan punggungnya, duduk bersandar di dinding di sebelah Kamal Adli. Pertanyaan Kamal Adli tadi tidak terus dijawab. Alat kawalan jauh televisyen dicapai lalu butang berwarna merah ditekan. Dalam masa tiga saat televisyen bersaiz tiga puluh satu inci berjenama Penasonic itu terpasang sendiri.
“Tak, duduk rumah aje lagi best,” pertanyaan Kamal Adli tadi baharu dijawab. Saluran khas untuk animasi dari Jepun menjadi tontonnya ketika ini. Tidak habis-habis dengan animasinya.
Kamal Adli memandang hairan ke arah Noah Zuhairi di sebelahnya dengan kerutan di dahi. “Kau dengan Dania ada masalah ke?” tanyanya kehairanan. Kebiasannya, diwaktu-waktu begini, Noah Zuhairi selalu keluar belajar di perpustakaan bersama awek kesayangannya, Didi Dania.
Giliran Noah Zuhairi pula berkerut dahi memandang Kamal Adli di sebelahnya. “Apa hal kau tanya macam tu? Aku dengan Dania biasa aje? Tak ada masalah pun,” jawabnya jujur.
“Tak adalah, biasanya kau akan selalu berkepit dengan budak Dania tu. Hari ni tak pulak?” sesedap mulut Kamal Adli sahaja mengunakan terma ‘berkepit’ itu. Pengang tangan Didi Dania pun Noah Zuhairi tidak pernah, walaupun sekali. Inikan pula mahu berkepit.
“Eh, mulut kau tu jaga sikit. Aku tak pernah berkepit dengan Dania tau? Aku kalau berjalan dengan dia, satu meter jaraknya, tahu?” lekas Noah Zuhairi membetulkan kata-kata Kamal Adli yang dianggap tidak tepat itu. Sesungguhnya, dia dan Didi Dania tidak pernah jalan berkepit. Dia masih menghormati Didi Dania sebagai wanita dan tahu batas-batas sentuhan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang bukan muhrim.
Kamal Adli tergelak. “Cepat aje kau melenting. Aku salah cakaplah. Apa hal kau tak keluar dengan Dania hari ni?”
“Dia ada hal,” jawab Noah Zuhairi dengan wajah bosan. Wajahnya kembali berpaling ke arah skrin televisyen.
“Ooo…” angguk Kamal Adli akur. “Aku ingatkan kau orang bergaduh dah tahap nak berpisah,” sambungnya sekadar membuat andaian.
Pantas Noah Zuhairi memandang Kamal Adli di sebelahnya. “Berpisah? Apa maksud kau?” tanyanya kehairanan. Maksud ‘berpisah’ di sebalik kata-kata Kamal Adli tadi tidak berapa difahami dengan jelas.
“Eh… kau orang bedua bukan pasangan kekasih ke?” jawab Kamal Adli dengan pertanyaan.
“Hah?” Noah Zuhairi terkejut. “Siapa pandai-pandai bawak mulut kata aku dengan Dania pasangan berkasih?” Noah Zuhairi mempertikai.
Setahunya, dia dan Didi Dania tidak pernah ishtihar hubungan mereka sebagai pasangan kekasih walaupun di dalam hatinya dia terlalu sayang pada Didi Dania. Cuma ego lelakinya terlalu tinggi sehingga menepis perasaan itu.
“Eh, bukan ke? Aku ingat kau dengan budak Didi tu pasangan kekasih. Yelah, kau panggil dia awek, dia pulak panggil kau pakwe? So, semua orang dalam kolej ni yang kenal kau dengan Dania, ingatkan kau orang pasangan kekasih,” jelas Kamal Adli apa yang telah menjadi tanggapannya selama ini.
Noah Zuhairi tergelak sambil membaringkan tubuhnya di atas tilam lusuh di tengah ruang tamu itu.
“Memang betul gelaran tu, kan? Didi tu perempuan, aweklah gelarannya. Aku pulak lelaki, pakwelah gelarannya? Takkan Dania nak panggil aku awek. Tak kuasa mak nyah!” jawab Noah Zuhairi sambil meliuk lentukkan tangannya.
Kamal Adli tergelak. Dalam pada itu sempat mindanya berfikir. Benar juga terma yang digunakan oleh Noah Zuhairi itu. Tapi, hubungan mereka yang sangat mesra dan sering kelihatan bersama sehingga di dalam kelas pun duduk sebelah menyebelah telah menimbulkan spikulasi yang bukan-bukan mengenai hubungan mereka.
“Jadi, kau dengan Didi Dania bukan pasangan bercinta ke?” tanya Kamal Adli bertanya sekadar ingin memastikan.
Yup!” sepatah Noah Zuhairi menjawab tanpa memandang wajah Kamal Adli yang masih duduk bersandar di dinding. Pandangannya terus tepat pada skrin televisyen.
“Budak Dania tu boleh tahan cantik. Walaupun bertudung, ayunya tetap macam penyanyi Bienda tu. Comel wajah dia. Kalau dia bukan awek kau yang sah, tak salahkan kalau aku nak mengurat dia, kan?” tanya Kamal Adli sekadar ingin menguji perasaan rakan serumahnya itu. Dia tahu, Noah Zuhairi suka pada Didi Dania. Cuma rakan serumahnya itu terus teguh mempertahankan egonya.
Hampir terbatuk Noah Zuhairi mendengar kata-kata Kamal Adli itu. Namun, egonya terus teguh mempertahankan perasaannya dan cuba buat selamba seolah tidak tergugat jiwanya. Di dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu bertapa risaunya dia jika Kamal Adli mengotakan kata-katanya itu. Dia juga yang melepas nanti. Tapi… benarkah dia sayangpada Didi Dania? Hatinya masih tidak yakin dengan perasaannya sendiri.
Kamal Adli tersengih melihat Noah Zuhairi yang terus membisu. Dia tahu, rakan serumahnya itu sengaja mengawal perasaannya agar tidak kelihatan rasa cemasnya. Suasana sunyi seketika sebelum Noah Zuhairi mencipta topik lain.
*****
Didi DANIA meramas kedua tangannya. Entah mengapa tiba-tiba sahaja dia merasakan tidak yakin dengan rancangannya dengan Feroz ketika ini. Beberapa hari yang lalu, dia juga yang beria ingin meneruskan rancangan ini. Tetapi hari ini, tiba-tiba keyakinannya seolah hilang. Dia khuatir jika rancangan ini tidak menambahbaikan keadaan, sebaliknya akan memburukan lagi keadaan yang sedia bahaya.
Keadaan restoran sederhana mewah itu dipandang sekilas. Waktu sekarang baru pukul sebelas pagi. Masih terlalu awal untuk restoran ini sesak dengan pelanggan-pelanggannya kerana waktu makan tengah hari ada lebih kurang sejam atau dua jam lagi. Feroz di hadapannya di pandang beberapa kali. Wajah kawan baiknya itu kelihatan biasa sahaja. Seolah tiada perasaan takut jika rancangan ini tidak berhasil. Semua ini rancangan Feroz, kalau berlaku apa-apa Feroz yang akan dipersalahkan.
“Tiba-tiba aku rasa macam tak nak teruskan rancangan ni. Macam mana? Siapa nak jawab?” ujar Didi Dania selepas agak lama mendiamkan diri.
“Ya ampun, apa hal tiba-tiba aje ni? Semalam, bukan main tak sabar kau nak teruskan rancangan ni. Sekarang, tiba-tiba aje nak tarik diri? Kau ni apa hal ha? Aku dah buat appointment dengan kawan aku ni tau? Aku nak jawab apa kalau tiba-tiba rancangan ni tak jadi pada dia?” maki Feroz sambil mengacau minumannya dengan penyedut minuman.
Didi Dania mendesah gelisah. “Kau yakin ke, rancangan ni akan berhasil? Kalau memang dia tak akan cemburu macam mana?” Didi Dania meluahkan kebimbangannya.
Feroz pula mengeluh. Tapi keluhanya lebih ke arah keluhan bosan. Bosan dengan sikap Didi Dania yang tidak kuat jati dirinya. Jika semalam dia ingin menarik diri, mungkin boleh juga dia membatalkan petemuan ini. Tapi sekarang, mereka sedang menanti manusia yang bakal melengkapkan rancangan mereka.
“Relakslah Dania. Yang kau nak risau sangat kenapa? Kalau rancangan ni tak berhasil, kita stoplah. Kalau rancangan ni berhasil, kau jugak yang bahagia. Tak gitu?” Feroz cuba menenangkan jiwa Didi Dania yang tiba-tiba terasa kacau. Dia faham perasaan Didi Dania. Khuatir jika selama ini dia hanya syok sendiri.
“Janganlah bimbang Dania, kawan aku ni bukan calang-calang tau? Mukanya sangat kacak, kalau masuk Hero Remaja, garenti menang. Silap-silap kau boleh jatuh cinta dengan dia,” sambung Feroz lagi sengaja ingin menambah semangat Didi Dania yang tiba-tiba hilang bagai dibawa angin petang.
Didi Dania diam akur. Malas mahu bertekak lagi dengan Feroz. Jika berlawan cakap dengan Feroz, sudah tentu lelaki itu mahu menang. Di dalam hatinya dia terus berdoa agar rancangannya ini membuahkan hasil yang diharapkan. Dia ingin tahu apa perasaan sebenar Noah Zuhairi terhadap dirinya.
Keadaan diam seketika. Insan yang dinanti masih belum memunculkan diri walaupun hampir setengah jam mereka di restoran itu. Air minuman masing-masing ada yang sudah separuh. Bosannya kerana terpaksa menunggu.
“Kalau aku nak balik, boleh tak?” tiba-tiba sahaja Didi Dania meluahkan permintaannya.
“Huh?” Feroz terkejut. Hampir sahaja dia tersedak dengan minumannya sendiri. “Kau ni apa hal? Kita dah separuh jalan kau tahu tak? Takkan kau nak tarik diri? Aku sanggup merayu pada kawan aku ni untuk rancangan ni, kau tahu? Apa aku nak  menjawab pada dia kalau tiba-tiba tak jadi? Lagipun, apa yang kau nak cemaskan sangat ni? Aku yakin, tak akan berlaku apa-apa. Kau nak terus hidup dalam tanda tanya atau ingin kepastian sebenar?” Feroz sudah membebel.
Semakin serba salah pula Didi Dania dibuatnya. Dia kebingungan. Ikutkan hati dia inginkan kepastian sebenar. Tapi, dalam masa yang sama dia khuatir jika rancangan ini tidak membuahkan apa-apa hasil. Aduh… apa aku nak buat ni? Bebel hatinya semakin gelisah.
“Kau ni nak teruskan rancangan ni atau tidak?” tanya Feroz inginkan kepastian. Kasihan pula hatinya bila melihat keadaan kawan baiknya itu. Kelihatan kebingungan. Sudah seperti orang tidak betul pun ada juga. Kasihan sungguh!
Didi Dania tidak tahu untuk menjawab apa. Hatinya tiba-tiba sahaja berbelah bahagi untuk meneruskan rancangan ini. Bercelaru jiwanya bila memikirkan kesan-kesan dari rancangan ini. Semasa Feroz mencadangkan rancangan ini, tiada pula dia khuatir atau terfikir akan kesannya. Bila sudah di saat akhir begini, baru mula memikirkan mengenai kesan-kesan rancangan ini.
“Kenapa lambat sangat kawan kau sampai ni? Kalau temu janji pertama dah lambat macam ni, kau yakin ke dia boleh menjalankan tugasnya dengan baik?” Didi Dania mempertikai. Sengaja mencari alasan agar rancangan ini tidak diteruskan.
Belum sempat Feroz menjawab pertanyaan Didi Dania itu, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering, menandakan ada pesanan ringkas baru. Lekas dia membaca pesanan ringkas itu. “Kawan aku tu dalam perjalanan ke sini. Dia minta maaf sebab lewat. Dia ada hal tadi katanya,” ujar Feroz selepas selesai membaca pesanan ringkas di telefon bimbitnya.
Didi Dania mengeluh halus. Ingatkan tak jadi rancangan ni. Rupanya jadi jugak. Detik di hatinya.
“Tiba-tiba aku rasa macam nak terkucil, aku nak ke toilet kejap erk? Kalau kawan kau tu dah sampai, kau suruh dia tunggu sekejap ya?” pinta Didi Dania lalu bangkit berdiri.
“Kau ni apa hal, masa-masa macam nilah nak ke toilet segala. Tak boleh tahan ke?” maki Feroz dalam nada rendah. Takut suaranya bakalan menganggu pelanggan yang lain.
“Kau nampak ni?” Didi Dania menunjukan buku limanya pada Feroz. “Emergency kau tahu tak? Mana boleh nak tahan,” sambungnya sinis lalu menyusun langkah meninggalkan Feroz sendirian di meja itu.
Sebenarnya dia bukanlah mahu buang air. Dia ke tandas untuk meredakan gemuruh yang tiba-tiba meledak di kalbunya. Dia perlu ruang untuk berfikir sejenak. Hatinya bagai dibelah-belah. Sangsi sama ada ingin meneruskan rancangan ini atau tidak.
Langkah disusun menuju ke arah tandas yang berhampiran dengan restoran yang terletak di dalam sebuah pusat membelah ini. Semangatnya untuk meneruskan rancangan ini seolah sudah melayang. Ikutkan hati ingin sahaja dia lari pulang ke rumah, meninggalkan Feroz bersama kawannya ‘terkapai-kapai’ menantinya. Tapi, dia tidak sekejam itu. Keyakinannya terus dipupuk agar rancangannya berjalan dengann lancar.
Kedebuk! Tiba-tiba sahaja tubuhnya dirempuh oleh seseorang dari arah sisi kanannya.
Adoi…” ngeluh Didi Dania sambil mengurut bahunya yang dirempuh oleh seseorang dari sisi kanannya. Mujurlah tidak kuat, jika tidak mahu patah riuk tulang bahunya. “Buta ke, apa awak ni?” marah Didi Dania sambil mengurut bahunya yang terasa sengal.
“Maafkan saya, cik tak apa-apa ke?” tanya insan yang telah melanggar bahunya itu.
“Tak ada apa-apalah. Lain kali jalan tengok-tengoklah orang kat depan,” sindir Didi Dania tanpa melihat wajah insan yang telah melanggarnya tadi. Dari nada suara insan itu seperti milik seorang lelaki. Namun, disebabkan jiwanya kegundahan, dia malas mahu ambil pusing hal pelanggaran kecil itu. Langkah terus disusun menuju ke arah tandas.
Insan yang melanggarnya tadi hanya tersenyum sendiri melihat Didi Dania yang semakin jauh menuju ke arah tandas berhampiran.
Sampai sahaja di dalam tandas, Didi Dania terus melangkah menuju ke singki. Tas tangannya di letak di atas para singki. Keadaan tandas lengang. Wajahnya ditatap lama di cemin. Nafas ditarik dalam-dalam, lalu dihembus perlahan. Meredakan gelojak jiwa yang tiba-tiba berdetak laju.
“Kau yakin nak teruskan rancangan ni, Dania? Kau tak takut kalau hal ini tak membawa kesan pada perkara yang kau ingin buktikan?” Didi Dania bertanya pada bayangan sendiri di cermin.
Diam. Lama Didi Dania memandang wajahnya sendiri melalui cermin. Keluhan demi keluhan dihembus keluar. Semakin berselirat mainan jiwanya. Bersimpul segala persoalan di mindanya. Berbelit kemungkinan-kemungkinan yang belegar-legar di hatinya. Perasaan takut, khuatir, cemas dan bimbang terus bergabung menjadi satu lalu menghasilkan rasa was-was yang mengoyahkan niat asalnya. Apakah mampu dia berlakon sehabis baik? Persoalan lain pula bermain di mindanya.
“Aduh… pening kepala otak aku nak fikirkan semua ni. Relaks Dania, Feroz dah tolong kau untuk meneruskan rancangan ni.
Kau hanya tinggal teruskan sahaja. Sampai bila kau ingin terus hidup di awang-awangan? Tidak pasti siapa sebenarnya diri kau di dalam hatinya. Dengan cara ini, kau boleh dapatkan kepastian yang kau inginkan. Yakinkan dirimu, kerana dirimu begitu berharga,” bebel Didi Dania sendirian. Sempat lagi dia berlagak comel di hadapan cermin tika di hujung kata-katanya.
Ehem… ehem…” kedengaran suara seseorang berdehem beberapa kali dari arah pintu masuk. Mendengarkan suara itu membuatkan Didi Dania terkaku. Liur ditelan, kesat. Tas tangannya yang diletak di atas para singki di capai. Dengan perlahan-lahan dan perasaan cemas dia menoleh memandang ke arah suara itu.
Sengihan sumbing persis kerang busuk diukir di sebalik bibirnya. Tanpa bersuara dia terus berlalu meninggalkan tandas itu.
Sewel ke apa minah ni? Masuk tandas lelaki,” rungut lelaki yang berdehem tadi.
“Astaghfirlah al-Azim, macam mana aku boleh tak perasaan masuk tandas lelaki tadi? Nasib baik tak ada orang. Kalau ada… macam mana? Malunya aku!!!” bisik Didi Dania perlahan sambil menundukan wajahnya. Malu dengan manusia-manusia yang sedang memandang hairan ke arahnya kerana baharu sahaja melangkah keluar dari… tandas lelaki! Malunya!!! Dengan laju dia menyusun langkahnya semula menuju restoran.
Sampai sahaja di restoran, Didi Dania terus sahaja melabuhkan punggungnya di atas kerusinya tadi. Wajahnya kelihatan merah padam menaham malu. Terasa berbahang pula wajahnya ketika ini. Kalaulah Feroz tahu dia tersalah masuk tandas tadi, pasti berguling-guling kawannya itu mentertawakannya. Jadi, untuk keselamatan diri, lebih baik dia mendiamkan diri sahaja. Selepas ini dia akan lebih berhati-hati untuk masuk tandas awam. Apa yang pasti dia tidak akan sesekali masuk ke tandas awam ketika dia dalam kewalangan. Serik!
“Kau apa hal Dania? Nampak macam gelisah aje?” tanya Feroz selepas Didi Dania selesa duduk di hadapannya.
“Tak ada apa-apa,” jawab Didi Dania sambil menundukkan wajahnya. Dia tidak mahu Feroz perasan perubahan warna pada wajahnya. Dia tidak perasan ada manusia ketiga di meja itu.
Feroz mengeluh bosan. “Okeylah, kenalkan ini kawan aku yang bakal merealisasikan rancangan kita. Nama dia Shaz,” Feroz memperkenalkan rakannya yang bakal berkomplot dengan mereka kepada Didi Dania.
Didi Dania mengangkat wajah memandang insan yang telah dimaksudkan oleh Feroz. Bila mata terpandang wajah lelaki di hadapannya kini, Dia terpaku seketika. Liur yang ditelan terasa kesat untuk melintasi kerongkongnya. Buat seketika dia terpana melihat wajah lelaki di hadapannya itu.
*****
KEADAAN persekitaran taman itu agak lengang tengah hari ini. Bukan suka-suka dia berada di sini. Dia menanti maklumat dari orang suruhannya. Apa yang berlaku sebentar tadi adalah salah satu dari komponen rancangannya. Tidak sabar pula dia ingin melaksanakan rancangannya. Setiap rasa sakit hatinya perlu berbalas.
Lima minit berlalu akhirnya insan yang dinanti muncul juga. Muncul dengan menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi daripada Suzuki. Terasa panas hatinya bila terpaksa menunggu. Disebabkan dia sudah terbiasa dengan sikap lambat orang suruhannya itu, dia diamkan sahaja. Marah macam manapun, orang suruhannya itu tetap begitu. Lambat!
Sorry bos aku lambat. Jalan sesak tadi,” jawapan sama yang sudah ketinggalan zaman.
Razy Radin malas mahu bertekak. Apa yang dia inginkan adalah hasil siasatan orang suruhannya itu. Dia berharap apa yang diperolehi oleh orang suruhannya berbeloi dengan bayaran dan kesabarannya.
“Apa yang kau dapat?” tanya Razy Radin selepas orang suruhannya itu bersandar pada kereta di sisinya.
Orang suruhannya yang bernama Shah itu tersengih sambil membuka cermin mata hitamnya lalu di sangkut pada koler bajunya. “Kau jangan risau, apa yang aku dapat ni pasti akan memuaskan hati kau,” ujarnya sambil mengeluarkan sebuah sampul surat bersaiz A4 dari dalam jeket kulitnya lalu dihulur kepada Razy Radin.
Razy Radin memandang sekilas wajah Shah dengan wajah serius. Sampul surat yang dihulur dicapai. Kemudian, isinya dikeluarkan.
“Ini semua data peribadi penuh budak perempuan tu. Aku dapat dari bahagian Hal Ehwal Akademik kolej di mana dia belajar. Aku dah pergi ke kampung dia, dia ni berasal dari keluarga biasa-biasa aje. Ayah dia sudah meninggal dunia. Dia anak tunggal. Emak budak ni ada kedai kerepek. Perusahaan kecilan orang kampung,” jelas Shah walaupun tidak di tanya.
Razy Radin angguk akur sambil membaca ratusan huruf yang tercetak di atas kertas di tangannya. Mujurlah apa yang diperolehi oleh orang suruhannya itu memenuhi kehendaknya.
Selesai membaca dan mendengar penerangan Shah, dia mengelurkan sepucuk sampul surat dari dalam poket seluarnya.
 “Dalam sampul ni ada duit baki bayaran kau. Apa-apa hal aku akan contact kau lagi. Aku blah dulu…” pamit Razy Radin lalu membuka pintu keretanya. Dia tidak mahu berlama-lama di situ bersama Shah. Dia tidak mahu sesiapa tahu tentang rancangan ini.
Shah membelek isi sampul surat yang diberi oleh Razy Radin tadi sekilas. Dia sudah beberapa kali bekerja untuk lelaki itu. Jadi, dia sudah mempercayai lelaki itu sepenuhnya.
“Ingat, jangan sampai hal ni diketahui oleh sesiapa,” pesan Razy Radin sebelum memecut kenderaannya meninggalkan kawasan itu.
“Baik bos!” akur Shah sambil mencium sampul surat di tangannya. Kederaan yang dipandu oleh Razy Radin dipandang sehingga menjauh. Kerjasamanya dengan Razy Radin sudah selesai. Habuannya juga sudah berada di tangan.





Gratisan Musik