Cinta Awek & Pakwe - 03


BAB 03
Juliana membuka lipatan kertas muka berpelembap di tangannya. Sudah menjadi kebiasaan baginya akan mengenakan kertas muka berpelembab sebelum tidur. Untuk kecantikan, kemulusan dan keserian wajah katanya. Dengan perlahan dia menekap kertas lembik itu ke muka lalu diratakan kedudukannya. Terasa dingin kulit wajahnya ketika ini. Nyaman sekali.
“Woi!!!” hampir sahaja Juliana menyembam mukanya pada cemin empat segi tepat di hadapannya itu bila disergah begitu. Lekas dia mengusap dadanya yang tiba-tiba berdetak laju. Mujurlah dia tidak menempek bedak sejuk. Jika dia menempek bedak sejuk tadi, pastinya sudah berderai menjadi debu.
“Sukalah tu sergah aku macam tu?” maki Juliana sambil membaling berus rambutnya ke arah Siti Nurhaliza yang sedang bergolek-golek di atas tilamnya sambil ketawa bedekah-dekah.
Sempat Siti Nurhaliza mengelak berus rambut itu. “Baharu kena sergah dah terkejut beruk!” sindir Siti Nurhaliza sambil memeluk bantal berbentuk hati milik Juliana.
“Kaulah beruknya…” rengus Juliana sambil menjeling maut ke arah Siti Nurhaliza. Dia kembali memandang cermin solek. Membetulkan kedudukan kertas muka berpelembapnya yang senget ke kanan.
“Kalau manusia, dia tak akan sergah macam tu. Dia akan bagi salam kalau yang Islam. Kalau yang bukan Islam, pasti dia akan say hallo. Bukannya ‘woi!’ macam kau buat tu. Kalau aku ada ada barah hidung, tak ke arwah dah aku tadi,” sambung Juliana sambil memandang wajahnya melalui cermin.
Siti Nurhaliza mencebik bibir. Berlagak baik konon. Menyampah aku… dia tu yang macam beruk malam-malam pakai mask kekeke... Dahlah kurang pengetahuan am, mana ada orang sakit barah hidung boleh mati terkejut? Bebel Siti Nurhaliza di dalam hati sambil menahan gelak.
“Mengutuk akulah tu dalam hati? Menyampah!” sindir Juliana.
Alamak, macam mana dia boleh dengar? Dia ada magis ke? Detik Siti Nurhaliza ketakutan lalu tersengih sumbing. Dari baring, kini dia sudah duduk bersila sambil memeluk bantal kapas berbentuk hati tadi.
Juliana buat muka bosan lalu bangun dari terus duduk. Dengan perlahan dia melangkah ke katilnya lalu merebahkan tubuhnya di atas tilamnya.
“Bagi balik, ini bantal kesayang aku,” ujar Juliana sambil merampas bantal yang dipeluk oleh Siti Nurhaliza lalu dibuat alas kepalanya agar lebih tinggi kedudukan kepalanya di atas bantal sedia ada.
“Ada apa kau masuk bilik aku yang indah ini?” tanya Juliana sambil memejamkan kedua matanya sambil menikmati kesejukan kertas muka berpelembap yang menempek di wajahnya ketika ini.
“Tak ada apa-apa, sengaja buat lawatan sambil belajar,” jawab Siti Nurhaliza sambil buat muka selamba.
“Dia ni sengaja tau…” rengus Juliana sambil mencubit betis Siti Nurhaliza.
Auwww… sakitlah minah! Suka hati aje nak mencubit aku. Sakit kau tahu tak?” maki Siti Nurhaliza sambil mengusap betisnya dari luar pijamanya. Dia menyelak seluar pijamanya sekilas. Ada kesan merah di betisnya kesan dari cubitan Juliana tadi.
Juliana tersenyum. Di dalam hatinya sudah terburai ketawa. Mahu ketawa lebih-lebih takut kertas mukanya bergalih. Mahu tidak mahu dia terpaksa kawal pergerakkan bibirnya.
Diam seketika. Masing-masing kelihatan seolah sedang bermain dengan fikiran. Entah apa yang sedang mereka fikirkan di saat hujung-hujung semester ini. Bulan depan sudah final exam. Masing-masing masih boleh berlagak ‘diva’ sudah seperti Albert Einstein gitu. Baca soalan sekali sudah boleh jawab. Mampukah mereka?
“Aku masih menunggu ni…” tiba-tiba Juliana bersuara selepas agak lama mendiamkan diri.
Siti Nurhaliza berkerut dahi memandang Juliana yang sudah seperti patung cendana itu. Dia sangkakan kawan baiknya itu sudah tengelam dihanyut lena. “Kau tunggu apa sebenarnya?” tanya Siti Nurhaliza balik.
“Tak ada apa, aku tengah tunggu bulan jatuh ke riba. Kau mampu nak meriba bulan? Tak mampu, kan?” maki Juliana sudah bengang. Sudah tahu, lagi mahu tanya. Sepak, baru tahu, sambungnya di dalam hati.
“Wooo… aku tak mampu nak riba bulan weh… Aku respect pada kau,” balas Siti Nurhaliza sambil menabik hormat pada Juliana.
Zasst! Sepatasnya Juliana bangkit mendudukan diri di atas katilnya itu.
“Mak!!!” Siti Nurhaliza terkejut  lalu tergolek ke lantai bila kawan baiknya itu tiba-tiba sahaja bangun. Sudah seperti mumia gayanya. “Adeh…” keluh Siti Nurhaliza lalu bangkit berdiri sambil memegang pinggangnya. Mukanya kelihatan berkerut menahan sakit. Sengal tulang pinggangnya kerana terhentak sederhana kuat pada lintai.
“Itulah balasan untuk orang yang nak loyer buruk dengan aku. Padan muka!” sindir Juliana lalu meletakkan semula kepalanya ke bantal. “Cakaplah apa tujuan kau masuk bilik aku ni? Kalau kau nak study, aku tak ada mood nak study malam ni. Ada faham?” sambung Juliana lagi sambil merapatkan kelopak matanya semula. Kedua telapak tangannya ditindih pada perut. Sudah seperti jenazah pula dari jauh.
Siti Nurhaliza masih mengurut kecil pinggangnya yang mula beransur kebah rasa sengalnya. Dia kembali duduk di atas katil. “Aku datang ni cuma nak tanya kau sesuatu.”
“Tanyalah sebelum aku tertidur,” Pintas Juliana tidak sempat menyempat.
“Kalau aku tanya kau jangan marah…”
“Tanya ajelah. Benci betul aku kalau orang nak tanya aku duk berbelit kata. Berbubga-bunga segala. Cakap ajelah!” Juliana sudah memaki. Bosan sungguh bila Siti Nurhaliza buat dia seperti kekasih hatinya pula mahu minta kebenaran bertanya.
“Yelah! Aku tanyalah ni… aa….” Balas Siti Nurhaliza tetap meninggikan suara. Tetap tidak mahu kalah memaki. Dengan keyakinan diri yang bersisa, Siti Nurhaliza mengumpul semangatnya. Nafas ditarik dalam.
“Kau tak rasa kau macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong ke bila Noah tak layan kau, kau pulak tergedik-gedik dengan dia? Kalau aku, aku malu tau? Dah macam kau ni jenis wanita tak laku,” Siti Nurhaliza meluahkan pertanyaan dan hujahnya dalam satu nafas. Oksigen! Oksigen! Detik di hatinya sambil menghirup udara di kamar itu sepuas-puasnya.
Perlahan-lahan Juliana bangun dari pembaringan persis mumia baharu dapat roh baharu. Wajahnya nampak biasa. Siti Nurhaliza sudah mengigit jari menahan cuak. Dia tahu, sebentar lagi sudah pasti Juliana akan jadi naga.
Juliana menahan nafasnya yang tiba-tiba senak. Kata-kata Siti Nurhaliza itu berbau sindiran yang sangat sinis. Sehingga mengores hancur setangkai hatinya. “Keluar!!!!” jerit Juliana sambil mendepakan tangan kanannya ke arah pintu biliknya yang terbuka luas. Kesabarannya sudah sampai ke tahap maksima.
“Wah!!!” Siti Nurhaliza turut terkejut dengan pekikan itu lalu lintang-pukang dia melangkah keluar.
“Tutup pintu tu!!!” pinta Juliana dengan jeritan yang kuat. Sahabat sejatinya menyindir dia sesedap hati sahaja. Seolah dia ini robot yang tiada perasaan. Dia ingat aku ni apa? Patung Barbie yang kaku bila Ryan tolak cinta aku? Tapi… memang Noah tolak cinta aku pun. Bisik di hatinya tiba-tiba sahaja amarahnya mereda. Diganti dengan perasaan hampa yang mencengkam.
Dengan kasar dia menghenyak lagi kepalanya ke bantal. Tak apa, kau mengata aku yang Siti, aku akan buktikan Noah akan menjadi milik aku suatu hari nanti. Aku akan buat dia tak akan hubungi kau wahai Dania selepas kita tamat pengajian nati. Tekad di hatinya mula merancang sesuatu.
Hai… asyik-asyik berebut cinta lelaki. Letih!
*****
“PAKWE hati-hati tau? Jangan bawak skuter laju-laju, nanti kemalangan, awek jugak yang susah,” pesan Didi Dania sambil membiarkan Noah Zuhairi membukakan pin topi keledarnya. Mereka baharu pulang dari perpustakaan bagi menyiapkan tugasan mereka dan belajar serba sedikit. Maklumlah, peperiksaan akhir semester tinggal beberapa minggu sahaja lagi. Persediaan awal perlu dibuat.
“Ye awekku sayang,” balas Noah Zuhairi sambil menyerahkan topi keledar yang telah dibuka dari kepala Didi Dania lalu diserahkan kepada aweknya semula. Noah Zuhairi suka menuturkan kata-kata begitu. Namun, kebenaranya tidak siapa tahu. Adakah Noah Zuhairi benar-benar serius dengan kata-katanya itu yang dia sayangkan Didi Dania atau sekadar bercanda? Hanya Noah Zuhairi yang tahu.
Pakwe tu bukan boleh percaya, bawak motor mesti nak laju,” Didi Dania masih mahu memesan.
“Ya Allah awek aku seorang ni. Rumah sewa pakwe bukan jauh pun, selang sepuluh rumah dari rumah awek aje, kan? Kau bagi pesanan dah macam rumah aku berjuta-juta kilometer jauhnya.” Ujar Noah Zuhairi yang masih bertenggek di atas skuternya.
Didi Dania tersengih sumbing sambil membetulkan kedudukan tudungnya di kepala. “Hehehe… aku masuk dahulu ya?” pinta Didi Dania malu sendiri.
“Okey, assalamualaikum awek,” ucap Noah Zuhairi sambil tersenyum.
“Waalaikumussalam,” balas Didi Dania lalu membuka pintu pagar besi rumah sewanya.
“Itu aje?” tanya Noah Zuhairi dengan wajah hampa.
Didi Dania yang sudah berada di dalam kawasan anjung berpaling memandang Noah Zuhairi dengan pandangan hairan. “Dah tu? Nak apa lagi?”
“Nak cium sikit boleh?” jawab Noah Zuhairi manja sekali.
“Gatal! Dahlah, pergi balik. Belum apa-apa dah nak mintak cium segela,” rengus Didi Dania lalu melangkah ke dalam tanpa menghiraukan Noah Zuhairi lagi. Terpamer senyuman tipis di hujung bibirnya. Geli hatinya dengan sikap ‘nakal’ pakwenya itu.
“Eleh, nak bergurau pun tak boleh.” Bebel Noah Zuhairi lalu memulas minyak skuternya. Dengan laju skuternya mula bergerak laju menuju ke arah barat. Dalam masa tidak sampai dua minit, dia sudah memerlahankan skuternya di hadapan pintu pagar rumah sewanya. Kewujudan sebuah kereta jenis BMW hitam metalik berdekatan dengan rumah sewanya itu membuatkan dia mengeluh halus.
“Apa lagilah yang dia nak ni? Sampai ke sini dia datang,” bebel Noah Zuhairi lalu melangkah turun dari skuternya. Pintu pagar besi rumah sewanya dibuka sebelah. Sekadar untuk memakir motornya ke dalam sahaja. Dia kembali menunggang skuter yang masih tidak dimatikan enjinnya lalu dia memakir di suatu sudut anjung rumah sewanya itu.
“Noah!” kedengaran namanya diseru selepas dia mematikan enjin skuternya. Mendengarkan suara itu tahulah dia siapa pemiliknya. “Aku nak bercakap dengan kau sekejap,” insan itu berkata lagi.
Noah Zuhairi mengeluh halus lalu membuka topi keledarnya. Kemudian disangkut pada handal. Dengan bosan, dia melangkah ke arah suara itu.
“Apa apa lagi kau nak jumpa aku bang?” tanya Noah Zuhairi selepas langkahnya menghampiri kereta BMW hitam metalik itu. Kemunculan abangnya di situ bukan sesuatu yang biasa. Jika sudah sampai ke sini, pasti ada yang tidak menyenangkan hati abang kandungnya itu.
Sejak kecil dia dan abangnya tidak pernah sebulu. Ada sahaja yang dia lakukan tidak menyenangkan hati abangnya itu. Dia sendiri tidak tahu apa salah dan puncanya dia dan abangnya bagai setru. Pantang berjumpa ada sahaja yang tidak puas hati. Dia sedar abangnya itu seolah tiada kebebasan sejak kecil. Apa yang ayahnya cakap, abangnya perlu turuti berbanding dirinya yang jarang mahu dengar kata.
“Dah pandai bercinta sekarang ya?” tanya Razy Radin sambil menyimpul tangan di dada. Dia memandang adiknya yang kelihatan bosan. Sejak beberapa bulan yang lalu dia sudah mengekori adiknya itu selepas mendapat info dari seseorang.
Noah Zuhairi merengus bosan sambil membuka jaket denimnya lalu di sangkut pada bahu. Topik yang paling dia tidak gemari. Suka hati dialah mahu bercinta atau apa sekalipun. Padanya, abangnya itu tidak berhak mahu ikut masuk campur.
“Kalau betul, apa kaitan dengan abang?” Noah Zuhairi mempertikai pertanyaan abangnya itu.
Razy Radin tertawa sinis sambil bersandar pada keretanya. “Ayahkan dah berpesan jangan bercinta masa belajar. Kau dah lupa pesanan ayah tu?”
Noah Zuhairi tertawa. Dia dapat mendengar ada nada cemburu di sebalik kata-kata abangnya itu. Sekilas dia memandang ke arah persekitaran taman perumahan itu. Taman perumahan ini sudah mula senyap memandangkan waktu ketika ini sudah menunjukan pukul sebelas suku malam.
“Kalau abang tak bagi tahu ayah, ayah tak akan tahu. Kecualilah abang nak bawa mulut pada ayah,” jawab Noah Zuhairi langsung tiada rasa hormat pada abangnya sendiri. Segaja dia tidak menafikan tebakkan abangnya itu. Dia dan Didi Dania bercinta? Soalan yang masih belum ada jawapannya sehingga kini. Dia ingin abangnya itu sakit hati.
Razy Radin hilang kata-kata. Berani sungguh adiknya itu berkata begitu. Adiknya itu sudah banyak dapat apa yang dia inginkan. Berbanding dirinya, apa yang cuba dia lakukan, pasti akan ditentang oleh ayahnya. Sungguh tidak adil.
“Mentang-mentang ayah selalu bagi kebebasan pada kau, berlagak kau dengan aku ya?” luah Razy Radin tidak puas hati.
Noah Zuhairi tergelak lagi. Seperti yang telah diduga, ternyata abangnya itu cemburu dengan kebebasan yang telah ayah mereka berikan kepadanya. “Baharu abang sedar? Noah yakin bang, ayah tak akan marah aku kalau aku nak kahwin sekalipun. Lainlah abang tu, nak bercinta pun tak berani sebab takut dengan ayah,” balas Noah Zuhairi sinis sekali.
“Berani kau…”
“Sudahlah bang. Baik abang balik aje. Menyemak aje kat sini. Kita ni walaupun adik beradik, tak pernah sependapat. Aku pun tak tahu kenapa kita tak pernah nak baik, bang. Mungkin ada yang sakit hati agaknya. Tapi tak apa. Aku tak kisah pun. Okeylah, aku nak masuk dalam dulu. Baik aku layan anime lagi bagus dari layan abang aku yang tak betul ni,” bidas Noah Zuhairi sebelum sempat abangnya menghabiskan kata-katanya. Tanpa mendengar kata balasan dari abangnya, dia terus melangkah masuk tanpa menghiraukan abangnya lagi.
Razy Radin mengenggam penumbuknya. Tidak mampu melawan bila adiknya itu sudah masuk ke dalam rumah.
“Tak apa, kau sindir aku ya? Kau tunggu ajelah nasib kau. Aku akan pastikan kau akan merana atas kata-kata kau tadi,” bebel Razy Radin kebengangan. Dengan perasan marah yang membuak-buak dia melangkah masuk ke dalam kereta. Dalam masa seminit, keretanya sudah meluncur laju meninggalkan kawasan itu.
“Argh!!!” jerit Razy Radin sekuat hati sambil menghentak stereng keretanya. Sakit hatinya berbalam-balam di kalbu. Berani sungguh adiknya menyindir begitu. “Kau hina aku ya? Baik! Kau tunggu ajelah Noah, aku akan buat kau merana. Aku akan siksa perasaan kau seperti mana kau siksa jiwa aku selama ini dengan kebebasan dan kelancangan kata-kata dari mulut kau,” bebel Razy Radin sendirian.
Suara radio dikuatkan sehingga ke tahap maksima. Dia dalam keadaan tertekan dan bunyi muzik yang membingitkan telinga, dia terus memandu ke arah pusat bandar.
*****
“HAI MEEDAH, cerita apa ni?” tanya Didi Dania lalu melabuhkan punggungnya di sebelah Hameedah yang sedang duduk bersantai di sofa mengadap televisyen. Selesai solat Isyak dia terus melangkah ke ruang tamu. Join sekaki menonton televisyen dengan Hameedah.
“Hai…” jawab Hameedah biasa.
“Mana yang lain?” lanjut Didi Dania sambil membuang pandangan ke arah kamar tidur yang ada di rumah ini. Mencari kelibat dua lagi penyewa.
“Biasalah hujung semester dan hujung pengajian. Masing-masing tengah perah otak study dan nak siapan projek dan tesis masing-masing. Nasib baik aku ambik jurusan pengurusan peniagaan, tak adalah buat tesis yang nak pecah kepala,” jawab Hameedah sambil mengunyah kerepk ubi pedas di tangannya.
Didi Dania angguk akur.
“Mana?” tanya Hameedah tiba-tiba.
Didi Dania menarik wajah. Berkerut dahinya memandang Hameedah. Tiba-tiba sahaja bertanya ‘mana?’. Apa yang Hameedah inginkan darinya?
“Mana apa?” tanya Didi Dania balik.
“Cucur badaklah. Biasanya, pakwe kesayangan kau tu bekalkan kau cucur badak, kan? Apa hal hari ni balik tak bawak apa-apa?” tanya Hameedah. Oleh kerana Noah Zuhairi kerap memberi cucur badak setiap kali kawan baiknya itu pulang ke rumah, menyebabkan Hameedah sudah terbiasa dengan pemberian itu.
Didi Dania tergelak kecil. “Amboi… sempat lagi menagih ya? Kedai makcik tu tutup hari ni,”
Hameedah menarik muncung. Malas mahu bertanya lagi. Alasan! Macamlah tak ada kedai lain? Detik di hatinya tidak puas hati. Dia ingat Noah Zuhairi pakwe dia agaknya mahu minta hari-hari bagi cucur badak.
Diam seketika. Masing-masing fokus pada drama Melayu yang tersiarkan di kaca televisyen.
“Cerita apa ni weh?” tanya Didi Dania yang tidak tahu hujung pangkal cerita yang sedang disiarkan. Apa yang pasti babak sekarang dua orang lelaki sedang mengejar sekumpulan lelaki.
“Takkan kau tak pernah tengok cerita macam ni?” jawab Hameedah dengan pertanyaan.
Didi Dania tidak terus menjawab. Lama dia menghayati kisah yang sedang ditayangkan ketika ini. Macam pernah dilihat drama sebegini. Tapi dia lupa cerita apa.
“Cerita apa erk?” Didi Dania memang tidak dapat meneka.
“Sebenarnya aku pun tak tahu cerita apa ni. Aku main tengok aje,” jawab Hameedah selamba sambil menguyah kerepek ubi pedas.
Hampir rebah Didi Dania mendengar jawapan kawan serumahnya itu. “Beria aku ingat kau tahu cerita apa. Rupa-rupanya…hampeh!” rengus Didi Dania menyampah.
Diam lagi. Masing-masing fokus pada racangan televisyen.
Tiba-tiba Hameedah menegakkan tubuhnya. Balang berisi kerepek ubi pedas yang sedari tadi dalam pelukannya diletak di atas meja kopi di hadapan mereka. “Emm… aku nak tanya kau sesuatu boleh tak?” ujar Hameedah cuba melepaskan kemusykilan jiwanya yang terpendam sejak mereka duduk serumah lagi.
Didi Dania menoleh memandang Hameedah di sebelahnya. “Tanya sesuatu? Tanya apa?”
“Kau dengan Noah tu dah declare sebagai pasangan kekasih ke? Yelah, aku tengok kau bukan main rapat dengan dia. Siap dah panggil awek dan pakwe. Kau dengan dia…” sengaja Hameedah tidak menghabiskan kata-katanya. Dia mahu Didi Dania yang menyambung kata-kata itu.
“Aku dengan dia teman tapi mesralah,” jawab Didi Dania lekas. Dia sendiri tidak tahu status hubungannya dengan Noah Zuhairi. Ya, memang Noah Zuhairi selalu cakap dia sayangkannya. Selalu ucap ‘I love you awek’. Tapi, selama mereka menjadi teman rapat, Noah Zuhairi tidak pernah mengisytiharkan hubungan mereka sebagai pasangan kekasih. Masakan dia yang perlu mulakan?
“Hah?” Hameedah terkejut dengan jawapan yang telah diberikan oleh Didi Dania. “Kau biar betul? Dah dekat tiga tahun kau orang ber’awek’ dan ber’pakwe’, dia belum lamar kau lagi? Sewel ke apa budak Noah tu?” sambung Hameedah seolah tidak puas hati.
“Eh, kau yang over emosi ni kenapa? Aku awek dia ni tak ada pun nak sedih-sedih. Okey aje, kau pulak nak berdrama terkejut pulak,” tingkah Didi Dania hairan. Namun, jauh di sudut hati, jiwanya turut berasa terkilan. Kenapa Noah Zuhairi masih belum mahu melamar dirinya? Apakah status dirinya di dalam hidup lelaki itu? Persoalan yang masih belum terungkai jawapannya.
“Tak adalah… aku kasihan tengok kau. Ramai budak-budak lelaki duk usyar kau. Semua kau tolak sebab nak jaga hati Si Noah yang konon-kononnya pakwe kau tu. Aku mati-mati ingat kau dengan Si Noah tu pasangan kekasih. Tiba-tiba malam ni kau bagi tahu, kau dengan dia hanya ‘teman tapi mesra’. Apa benda semua ini Didi Dania? Ke mana arah tujuan hubungan kau dengan Noah?” Hameedah sudah berleter. Sudah seperti emak Didi Dania pula leterannya. Panjang berjela.
Didi Dania terdiam. Dia sendiri tidak tahu apa jawapan yang perlu diberikan kepada Hameedah. Soalan-soalan Hameedah itu semuanya soalan maut. Seperti mahu sahaja dia menjerut leher dari menjawab soalan-soalan itu.
“Bodoh betul penjahat tu. Dah tahu kat depan tu ada polis, lagi nak main-main,” komen Didi Dania mengenai rancangan televisyen yang sedang ditontonnya ketika ini.
Hameedah mengeluh halus. Dia tahu kawan serumahnya itu cuba melarikan topik perbualan. Dia juga malas mahu masuk campur. Pandai-pandailah Didi Dania fikiran jawapan untuk soalan-soalannya tadi. Dia tahu, soalan-soalannya tadi membuatkan Didi Dania kembali terfikir. Dia kembali menyandar pada sofa. Balang berisi kerepek ubi pedas tadi di capai lalu isinya dikunyah rakus.
Didi Dania menjeling Hameedah di sebelahnya. Lega bila Hameedah tidak mahu memanjangkan isu itu. Soalan-soalan Hameedah tadi benar-benar membuatkan dia terfikir. Ke mana sebenarnya arah tujuan hubungan dia dengan Noah Zuhairi? Persoalan yang cukup melemaskan. Tetapi dia cuba untuk tidak memikirkan sangat tentang jawapannya. Yang penting baginya ketika ini, dia perlu fokus pada pelajarannya terlebih dahulu. Suah tamat belajar nanti baru fikir. Tapi… mampukah dia?





Gratisan Musik